Menteri perpaduan bidas warganet sebar provokasi, persenda agama

Menteri perpaduan bidas warganet sebar provokasi, persenda agama

Aaron Ago Dagang nasihat orang ramai bijak guna ruang maya, tak timbul ketegangan masyarakat.

Aaron Ago Dagang gesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ambil tindakan sewajarnya terhadap individu cetus provokasi 3R (raja, agama, kaum).
PETALING JAYA:
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang membidas segelintir warganet menyebarkan kenyataan berbentuk provokasi dan mempersendakan agama serta menyentuh polemik 3R (raja, agama, kaum) menerusi media sosial.

Beliau berkata perbuatan individu sepert Vijayan Savarinathan, Zamri Vinoth, Saravanan Sanmugom dan Crime_Man (nama di aplikasi TikTok) sama sekali tidak boleh diterima.

Tegasnya, setiap individu bertanggungjawab memastikan ruang maya digunakan dengan bijak dan tidak menimbulkan perpecahan atau ketegangan dalam masyarakat.

“Tindakan tidak bertanggungjawab yang menjurus kepada perbuatan menghina agama dan sensitiviti kaum adalah suatu ancaman kepada keamanan dan keharmonian negara,” katanya dalam kenyataan.

Aaron berkata bagi membantu mengatasi masalah itu Kementerian Perpaduan Negara akan terus melaksanakan ‘Kempen Cakap Baik-Baik’ serta menerapkan prinsip integrasi nasional Faham, Hormat dan Terima melalui program-program.

“Ini bagi mendidik rakyat Malaysia dalam menghormati agama dan budaya penganut lain.

“Saya mengingatkan kepada mereka yang terlibat dalam tindakan sedemikian supaya berhenti dan memikirkan kesan buruk boleh timbul daripada perbuatan mereka,” katanya memohon polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau berkata tindakan membendung penyebaran kandungan jelik itu boleh dibuat melalui Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.