
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata 9,431 kes direkodkan hingga 4 Mac itu naik 48% berbanding 6,354 kes dicatatkan tempoh sama tahun lalu.
Katanya, penipuan dalam talian penyumbang terbesar kepada kes jenayah komersial dan trend itu dijangka terus melonjak pada minggu seterusnya.
“Sehingga minggu kesembilan tahun ini, sejumlah 8,322 kes penipuan telah direkodkan bersamaan 88.2% daripada keseluruhan kes dicatatkan.
“Nilai kerugian mencecah RM368 juta atau bersamaan 73.5% daripada jumlah keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.
Dari segi pecahan, Ramli menjelaskan jenayah telekomunikasi merekodkan jumlah tertinggi dengan 3,706 kes membabitkan kerugian RM91.3 juta diikuti 1,690 kes belian dalam talian (RM12 juta) dan 1,338 kes tipu pelaburan (RM241 juta).
Menurutnya, pinjaman tidak wujud merekodkan sebanyak 926 kes dengan kerugian RM6.6 juta, 492 tipu e-kewangan (RM9.6 juta) dan 170 love scam (RM7.6 juta).
“Kami akan terus melipatgandakan usaha pembanterasan dan memperkasakan tindakan penguatkuasaan melalui siasatan lebih berkualiti.
“Pembabitan aktif setiap lapisan masyarakat penting bagi menyebarkan mesej pencehan untuk kewujudan persekitaran selamat,” katanya.