Dewan Rakyat lulus penubuhan kumpulan rentas parti kukuh keharmonian kaum, agama

Dewan Rakyat lulus penubuhan kumpulan rentas parti kukuh keharmonian kaum, agama

Kumpulan itu turut dianggotai Architects of Diversity Malaysia, Pertubuhan Ikram Malaysia, Majlis Peguam dan beberapa ahli akademik.

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Keharmonian Kaum dan Agama akan beri maklum balas dan cadangan kepada kementerian berkaitan bagi melestarikan hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat meluluskan penubuhan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Keharmonian Kaum dan Agama bagi mengukuhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dalam negara.

Perkara itu dimaklumkan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang mempengerusikan kumpulan tersebut dengan keanggotaannya terdiri lapan Ahli Parlimen lain termasuk kerajaan dan pembangkang.

Antaranya Senator Mujahid Yusof Rawa, Halimah Ali (PN-Kapar), R Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat), Riduan Rubin (Bebas-Tenom), Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar), Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) dan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya).

Ia turut dianggotai Architects of Diversity Malaysia (AOD), Pertubuhan Ikram Malaysia, Majlis Peguam dan beberapa ahli akademik.

Syahredzan berkata, kumpulan rentas parti itu penting sebagai platform perbincangan bagi mengenal pasti dan mencari solusi isu berkaitan keharmonian kaum dan agama dengan penggabungan pandangan kolektif pihak terbabit.

Katanya, selain mempelopori cadangan dasar dan perundangan dalam menyokong usaha keharmonian kaum dan agama di peringkat nasional, ia juga fokus membangunkan inisiatif advokasi dan pendidikan yang menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Selain itu, juga memberi maklum balas dan cadangan kepada kementerian-kementerian berkaitan bagi melestarikan hubungan antara kumpulan kaum dan agama di Malaysia.

“Berdasarkan perkembangan isu semasa, kami melihat keperluan mendesak untuk menghimpunkan semua pemegang taruh bagi membincangkan hala tuju keharmonian kaum dan agama di Malaysia,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Beliau berkata, pihaknya turut melahirkan komitmen menyeluruh setiap anggota bagi memastikan keharmonian kaum dan agama di Malaysia terus terpelihara dan diperkukuhkan, selaras lunas Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.