SKMM serah notis niat gantung lesen kepada Era FM

SKMM serah notis niat gantung lesen kepada Era FM

SKMM berkata pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil.

mcmc
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah bertemu dengan pengurusan tertinggi Astro untuk siasatan kes tiga penyampainya yang disyaki mempersenda tarian kavadi Hindu dalam satu rakaman video. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyerahkan notis niat bagi penggantungan lesen kepada stesen radio Era FM susulan insiden tiga penyampainya yang disyaki mempersenda tarian kavadi Hindu dalam satu rakaman video.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil.

Menurutnya, SKMM juga akan mengemukakan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya esok berhubung video itu yang dimuat naik ke akaun TikTok milik stesen radio itu.

“SKMM telah memanggil pengurusan tertinggi Astro semalam dan satu kertas siasatan dibuka di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan selepas pindaan akta.

“Rakaman percakapan pihak terlibat dibuat bagi membantu siasatan,” katanya.

Semalam, Astro Audio menggantung penyampai radio 3 Pagi Era Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani serta dua lagi kakitangan susulan kontroversi itu.

Ketiga-tiganya telah memohon maaf di atas kejadian itu.

Video yang telah diturunkan daripada platform media sosial stesen itu memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.

Klip itu mengundang kritikan meluas dengan kebanyakan ia berupa penghinaan kepada tradisi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dipetik berkata pihaknya menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.