
Pengerusi Teah Heok Kuin kata antara kerusi yang disasarkan ialah Kapayan, Likas, Karamunting, Elopura serta Segama dan Tanjong Kapor.
Katanya, perkara itu dibincangkan di peringkat MCA Sabah dan sudah dimaklum secara tidak rasmi kepada pemimpin BN negeri.
“Cuma selepas ini ia akan dibincangkan di peringkat BN Sabah untuk dimuktamad. Kerusi yang kita sasar tanding itu ada kawasan campuran dan ada kawasan majoriti Cina,” katanya kepada FMT.
Teah berkata tiga daripada kerusi itu diduduki DAP dan tiga lagi disandang Warisan.
Walaupun berdepan laluan sukar, Teah optimis MCA mampu merampas kerusi itu sekiranya semua komponen BN bersatu dan bekerja dalam satu pasukan.
“Jentera MCA sudah buat kerja lama, kita turun padang. Jika BN boleh kerjasama dengan baik dan bersatu, tiada perpecahan kita boleh menang. Sekarang situasi di Sabah lain, rakyat juga kecewa dengan wakil rakyat sekarang,” katanya.
Sementara itu, Teah berkata sehingga kini BN Sabah belum mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana parti untuk membentuk kerjasama.
“Kita mungkin berunding membentuk gabungan untuk mentadbir negeri selepas pilihan raya kerana situasi politik hari ini tiada parti boleh bentuk kerajaan secara solo,” katanya.
Pada PRN lalu, MCA yang mewakili BN bertanding di empat DUN iaitu Kapayan, Likas, Karamunting, Elopura tetapi tewas di semua kerusi tersebut.
Pada 11 Feb, FMT memetik sumber berkata BN dijangka bertanding 38 DUN pada PRN Sabah, dengan diwakili Umno serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Menurutnya, MCA dinasihatkan tidak bertanding dan diminta membantu memenangkan calon komponen terbabit.
Bagaimanapun, Presiden MCA Wee Ka Siong menepis dakwaan tersebut sambil menyifatkan itu hanya ‘analisis politik’ yang tidak perlu dilayan.