
Selain Mara Inc, peringatan itu turut diberikan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Mara dan Mara Corp.
Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin, berkata pihaknya mengambil maklum terhadap pemantauan diambil KKDW, Mara dan Mara Corp serta strategi ditambah baik oleh Mara Inc terhadap projek pembangunan.
Katanya, ia termasuk pembangunan hartanah, projek tenaga boleh baharu dan pelan pemasaran.
“Sehubungan itu, PAC mengingatkan KKDW, Mara, Mara Corp dan Mara Inc untuk sentiasa memastikan semua projek yang sedang dan akan dilaksanakan dapat menjana keuntungan bersih yang tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan PAC bagi membentangkan penyatanya berhubung tindakan susulan KKDW untuk syor berhubung pengurusan Mara Inc.
Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, Mara Inc juga perlu memastikan semua hutang dibayar secara teratur selaras pelan penyelesaian ditetapkan.
Menurutnya, PAC juga mahu pelan pemulihan syarikat subsidiari Mara itu turut membabitkan pengurangan kerugian terkumpul Premiera Hotel & Resorts Sdn Bhd (PHKL) sebanyak RM84.1 juta pada tahun 2023 kepada keuntungan terkumpul RM0.8 juta dilaksanakan.