
Seorang wanita 25 tahun dan lelaki 70 tahun ditahan bersama lebih 3kg syabu dalam serbuan di kawasan Api-api Centre, Kota Kinabalu pada 27 Feb lalu.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Kasim Muda berkata serbuan itu hasil maklumat risikan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Kota Kinabalu dengan kerjasama IPD Penampang.
Ketika serbuan, beliau berkata, suspek wanita yang didapati positif dadah itu sedang memegang beg kertas di depan sebuah kenderaan dipandu warga emas terbabit.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 1,048.02g syabu dalam beg kertas itu dan ia membawa kepada rampasan kedua 2,110.03g syabu di sebuah rumah di Penampang.
“Jumlah keseluruhan dadah dirampas 3,158.05g syabu dianggarkan bernilai RM101,000 dan dipercayai boleh digunakan lebih 15,000 penagih dadah di kawasan ini,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu.
Kasim berkata, kedua-dua suspek merupakan kenalan yang bekerja kerja sebagai “transporter” mengambil dadah dari kurier dipercayai dikirim dari Johor, sebelum syabu itu dibungkus semula dalam pek kecil untuk tujuan pengedaran.
“Mereka dipercayai aktif sejak tahun lalu dan mendapat upah sekitar RM2,000 hingga RM3,000 untuk 1kg dadah dan upah diterima kali ini mencecah RM6,000,” katanya sambil menambah dua suspek itu direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, pihaknya percaya ada sindiket terlibat.