
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata Ismail sepatutnya hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya esok tetapi ditangguhkan selepas beliau memberi sijil sakit.
“Rakaman percakapan beliau akan dibuat pada 7 Mac, jam 10 pagi di ibu pejabat SPRM,” kata sumber itu.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata Ahli Parlimen Bera itu dipanggil atas kapasiti sebagai suspek dan bukan saksi bagi kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM.
Beliau bagaimanapun berkata proses rakaman percakapan itu bergantung kepada tahap kesihatan bekas naib presiden Umno berkenaan.
Ismail dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 22 Feb lalu selepas dikatakan pengsan dan tidak sedarkan diri. Difahamkan keadaannya kini stabil namun memerlukan pemantauan doktor.
Azam juga berkata, wang tunai RM170 juta dan jongkong emas bernilai RM7 juta dirampas dari beberapa premis dipercayai digunakan sebagai ‘safe house’ oleh proksi disyaki.
Ahli Parlimen Bera itu kali pertama dipanggil pada 19 Feb, telah mengisytiharkan aset yang menjadi sebahagian siasatan ke atas perbelanjaan dana untuk tujuan promosi dan publisiti, semasa beliau menjadi perdana menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Menurut Azam, 13 akaun melibatkan sekitar RM2 juta dibekukan.
Namun, beliau berkata akaun Yayasan Keluarga Malaysia tidak dibekukan kerana ia akaun institusi yang aktif, bukan akaun peribadi.
Katanya, akaun Ismail kekal bawah siasatan.
Azam juga berkata, 31 saksi telah disoal siasat setakat ini dan ‘sekurang-kurangnya dua ke tiga orang’ adalah ahli politik.