PRK Ayer Kuning: ‘Suara’ Akmal mampu pengaruhi pemilihan calon BN, kata penganalisis

PRK Ayer Kuning: ‘Suara’ Akmal mampu pengaruhi pemilihan calon BN, kata penganalisis

Ariff Aizuddin Azlan dan Tawfik Yaakub berpendapat kejayaan calon Pemuda Umno menang PRK Nenggiri dan Mahkota bukti mereka mampu tarik orang muda.

Minggu lalu, FMT memetik sumber melaporkan Ketua Pemuda Umno Tapah Fahmi Ahmad Jakhisi antara pilihan utama jadi calon BN pada PRK DUN Ayer Kuning. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua penganalisis percaya suara Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh akan diberi perhatian sekali lagi oleh pimpinan parti untuk memilih calon Barisan Nasional (BN) pada PRK Ayer Kuning.

Merujuk kemenangan besar calon dari sayap itu pada PRK Nenggiri dan Mahkota, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara berkata kejayaan itu membuktikan calon orang muda mampu menarik undi terutama pengundi bawah 21 tahun.

“Pemuda adalah cerminan pengundi masa kini dan trend pilihan raya dari semasa ke semasa cenderung ke arah paksi politik berkaitan orang muda dan ini adalah naratif baharu yang tidak boleh dinafikan.

“PRK Ayer Kuning kali ini, saya tidak menolak kemungkinan Pemuda akan mencipta naratif tersendiri sekali lagi,” katanya kepada FMT.

“Calon boleh menang hari ini datangnya dari sayap Pemuda,” kata Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya, sambil menyifatkan gesaan Akmal mungkin sekali lagi didengar pimpinan tertinggi parti untuk memilih calon tepat.

Ariff dan Tawfiq menjangkakan tiada sabotaj berskala besar dari sayap lain atau bahagian akan berlaku kerana ahli yang berada dalam parti hari ini adalah mereka yang tulen.

“PRK bukan medan memuaskan hati sayap tertentu dalam parti semata-mata tetapi memastikan parti boleh menang dengan majoriti lebih besar.

“Saya tidak nampak akan berlaku sabotaj kerana ahli yang sedia ada dalam Umno hari ini ialah ahli yang tulen, setia kepada parti walaupun pelbagai gelombang cabaran telah dilalui,” kata Tawfik.

Ariff berkata jentera Umno juga sedar jika berlaku unsur sabotaj di lapangan, ia akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh seteru politik.

“Jika ia berlaku maka imej Pemuda akan tercalar dan ini adalah satu risiko politik yang Pemuda tidak bersedia untuk hadapi,” katanya.

Minggu lalu, FMT melaporkan Ketua Pemuda Umno Tapah Fahmi Ahmad Jakhisi antara pilihan utama sebagai calon BN pada PRK DUN Ayer Kuning, selepas Akmal mendedahkan sayap itu sudah mengenal pasti calon berpotensi untuk diketengahkan bagi mempertahankan DUN Ayer Kuning.

Sumber memberitahu FMT, nama Fahmi yang juga naib ketua Pemuda Umno Perak telah pun mendapat restu dari kepimpinan BN Perak dan pusat.

PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan bagi mengisi kekosongan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada 22 Feb selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU15 November 2022, ketua Umno Tapah berusia 59 tahun itu menang dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.