
Jurucakapnya, Firdaus Mohammad Yusza, 41, mempersoalkan mengapa mereka sebagai mangsa tidak dipanggil dalam perbincangan antara MOT, syarikat kapal kargo, syarikat insurans, firma guaman dan pihak berkepentingan lain pada 24 Feb lalu seperti diumumkan Menteri Loke Siew Fook.
“Kenapa kementerian hanya berunding dengan syarikat kapal dan ejen? Kenapa tidak dengan kami sebagai mangsa sebenar?” katanya kepada FMT sambil mendakwa tidak mendapat sebarang perkembangan.
“Ejen kami lepas tangan begitu sahaja.”
Kapal itu terbakar di kedudukan 9 batu nautika berhampiran Tanjung Labuh, Batu Pahat dalam pelayaran ke Kota Kinabalu pada 3 Dis, memaksanya ditunda kembali ke Pelabuhan Klang. Beberapa kenderaan rosak dalam kejadian itu.
Pada 18 Feb lalu FMT melaporkan, pemilik kenderaan terbabit berkata mereka dimaklumkan perlu membayar Klausa General Average (GA) iaitu 60% nilai kereta kepada syarikat perkapalan untuk mendapatkan kembali kereta mereka, tanpa mengira sama ada mengalami kerosakan atau tidak dalam kebakaran itu.
Seorang daripadanya dimaklumkan ejen perkapalan bahawa kereta berkenaan ditahan disebabkan klausa mengikut undang-undang maritim yang menyatakan, jika berlaku kebakaran atau kerosakan di laut, kerugian perlu ditanggung bersama syarikat kapal dan pemilik kenderaan.
Pemilik kereta terbabit berkata, ejen perkapalan tidak memaklumkan mereka mengenai klausa itu terlebih dulu, menyebabkan ramai tidak pasti siapa yang patut dipertanggungjawabkan.
Pada 25 Feb lalu, Loke berkata kerajaan sedang merunding pengurangan jumlah perlu dibayar pemilik kenderaan terbabit.
Firdaus berkata ketiadaan kenderaan itu jelas menyusahkan mereka kerana sukar untuk bergerak.
“Kami sudah membayar perkhidmatan mereka tetapi kenderaan tidak dihantar… sekarang kami pula diminta bayar GA. Di mana keadilan?” katanya yang menetap di Tawau.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd Saiful Zailani, 37, berharap masalah itu dapat diselesaikan segera.
“Sudah empat bulan kami berjuang, saya terpaksa berulang-alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur untuk uruskan kes ini.
“Kami harap kerajaan segera membantu,” katanya.