
PETALING JAYA: Polis menyiasat penemuan lebih 700 peluru hidup dan 13 peluru kosong di tempat pembuangan sampah di sebuah pangsapuri di Bukit Jambul di Georgetown, Pulau Pinang pada petang tadi.
Ketua Polis Timur Laut Abdul Rozak Muhammad berkata, polis menerima maklumat mengenai penemuan beg berisi peluru itu kira-kira 1.40 petang daripada orang awam
“Kita memandang serius kes ini dan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dari pelbagai sudut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan menurut Harian Metro.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Nurul Aishah Izati Zaidi di talian 011-21544465.