
Kenyataan Adun Gunong Semanggol di Facebook itu hadir ketika wujud laporan media mendakwanya ‘direhatkan’ daripada jawatan pesuruhjaya PAS.
“Alhamdulillah, Pak Teh (merujuk dirinya) merasmikan mesyuarat PAS Cawangan Kampung Lenggong petang tadi (semalam).
“Insya-Allah, perjuangan akan diteruskan walau apa posisi kita. Siiru ‘ala barakatillah,” katanya tanpa menjelaskan secara langsung mengenai kedudukannya dalam PAS.
Semalam, Sinar Harian melaporkan Razman direhatkan daripada tugas sebagai pesuruhjaya PAS Perak.
Laporan itu mendakwa keputusan tersebut dibuat PAS pusat susulan beberapa isu membabitkan beliau, termasuk yang terbaharu mengaitkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dengan Kumpulan YTL Corporation Berhad (YTL).
Razman telah memohon maaf kepada Yeoh dan pihak yang terkesan dengan ucapannya mengaitkan pemimpin DAP dengan itu dengan keluarga Yeoh yang memiliki YTL.
Timbalan pengerusi Perikatan Nasional Perak itu juga mendakwa beliau disaman Yeoh kerana mengaitkan pemimpin DAP itu dengan dakyah Kristianisasi.
Difahamkan, tugas pesuruhjaya dipangku naib presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai Idris Ahmad.
FMT menghubungi Razman dan pemimpin PAS lain berhubung kedudukannya dalam parti itu.