
Seorang pekerja kilang di Perai, Muhammad Muslim Ahmad Faizal, 34, berkata beliau dan isterinya sudah biasa membawa beg kitar semula kerana sebelum ini Pulau Pinang melaksanakan kempen itu hanya pada hari-hari tertentu.
Bagaimanapun, katanya, ada segelintir pelanggan yang dilihat masih tidak tahu mengenai perkara itu, terutama dalam kalangan pelancong atau pengunjung luar negeri.
“Sebelum ini, Isnin sampai Rabu memang tidak ada beg plastik. Jadi, kami penduduk di negeri ini memang sudah tahu dan terbiasa bawa beg kitar semula untuk isi barang … ia sebenarnya bagus untuk melindungi alam sekitar,” katanya.
Pekerja kedai serbaneka Nur Afizah Mazlan, 31, pula berkata, ada dalam kalangan pelanggan yang sanggup membayar untuk mendapatkan beg plastik, namun jelasnya, mulai hari ini beg plastik tidak lagi disediakan.
“Mungkin mereka tidak tahu mengenai kempen yang mula dijalankan hari ini dan kami sebagai pekerja memaklumkan kepada mereka, namun kedai serbaneka turut menjual beg kitar semula supaya memudahkan pelanggan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Penang Green Council (PGC) Josephine Tan Mei Ling berkata, berdasarkan tinjauan, pihaknya mendapati terdapat pengguna yang keliru dengan kempen itu kerana menyangka beg plastik masih boleh dibeli.
Ekoran itu, katanya, bagi tempoh enam bulan pertama, bermula hari ini, pihaknya meningkatkan kempen tiada beg plastik itu termasuk mengedarkan risalah menerusi kaunter Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai.
“Kita faham ada yang keliru mengenai kempen itu. Jadi, kami tingkatkan kempen itu dalam tempoh enam bulan ini … pada masa sama, PGC juga akan mengedarkan beg kitar semula kepada orang ramai,” katanya.
Sebelum ini, Exco Perumahan dan Alam Sekitar negeri S Sundarajoo dilaporkan berkata, kempen pengagihan beg guna semula secara percuma di seluruh negeri bagi menggalakkan penggunaannya, sekali gus membantu penduduk beralih kepada amalan lebih lestari dalam usaha melindungi alam sekitar dan mencapai masa depan yang mampan.
Katanya, pihaknya akan memberikan tempoh enam bulan bagi peringkat penguatkuasaan secara berhemah, iaitu bermula 1 Mac hingga 31 Ogos, untuk membolehkan perniagaan dan orang awam membiasakan diri dengan peraturan baharu itu, manakala penguatkuasaan penuh bermula 1 Sept.
Sementara itu, tinjauan Bernama juga mendapati kebanyakan pengguna maklum mengenai kempen itu dan membawa beg sendiri untuk diisi dengan barangan.
Premis perniagaan yang terlibat juga tidak menyediakan beg plastik, sebaliknya menjual beg kitar semula bagi memudahkan pelanggan.
Program ‘tiada beg plastik percuma’ diperkenalkan kerajaan negeri pada 2009, sekali gus menyaksikan Pulau Pinang negeri pertama mengarahkan peniaga tidak membekalkan beg plastik kepada pelanggan secara percuma.
Sebelum ini, Pulau Pinang memperkenalkan kempen tiada beg plastik pada Isnin hingga Rabu, manakala pada Khamis dan Jumaat, setiap beg plastik dikenakan caj RM1, sekali gus membolehkan kerajaan negeri mengutip RM8 juta hasil program itu sejak 2009.