Komposer Zul Mahat meninggal dunia

Komposer Zul Mahat meninggal dunia

Zul Mahat, 64, dimasukkan ke PPUM hujung Disember lalu selepas terjatuh ketika rawatan dialisis di sebuah pusat di Subang Jaya.

Zul Mahat banyak terbabit dengan kerja rakaman album M Nasir, Search dan ramai lagi. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Komposer dan pemuzik Zul Mahat meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) malam tadi akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Berita itu disampaikan anak saudaranya kepada teman rapat komposer terbabit, Rosnah Abdul Aziz.

Terdahulu, Zul, 64, dimasukkan ke PPUM pada hujung Disember lalu selepas terjatuh ketika rawatan dialisis di sebuah pusat di Subang Jaya, menurut Harian Metro.

Zul mengalami kecederaan di dagu, mata serta patah tangan kanan dan bahu kanan.

Allahyarham dirawat selama hampir sebulan di hospital itu dan turut menjalani prosedur angiogram.

Doktor mendapati ada dua saluran darah tersumbat dan memasukkan ‘stent’ bertujuan menstabilkan keadaannya.

Allahyarham dibenarkan keluar dari hospital pada hujung Januari lalu, tetapi dimasukkan semula ke PPUM pada 17 Feb akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Sepanjang kariernya, Allahyarham banyak menghasilkan lagu-lagu untuk artis tanah air antaranya Perjalanan Duka nyanyian Min Malik, Sahabat (Fauziah Latiff) dan Sesat Dalam Gelita (Spider).

Sebagai pemain keyboard, Zul juga banyak terbabit dengan kerja rakaman album M Nasir, Search dan ramai lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.