Fadillah mahu komitmen pembangkang kemuka cadangan agihan dana

Fadillah mahu komitmen pembangkang kemuka cadangan agihan dana

Timbalan perdana menteri berkata perlu ada komitmen Ahli Parlimen pembangkang dan nyatakan apa yang dikehendaki.

fadillah
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata surat yang diminta daripada Ahli Parlimen pembangkang bertujuan mengetahui lebih lanjut cadangan mereka untuk diteliti.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen pembangkang diminta mengemukakan cadangan bagi membolehkan jawatankuasa pengagihan peruntukan ditubuhkan, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Katanya, beliau memerlukan komitmen mereka berhubung surat cadangan itu bagi penelitian bagi penubuhan jawatankuasa peringkat kerajaan dan pihak pembangkang.

Namun, katanya pembangkang memilih membuat kenyataan media tanpa melaksanakan surat cadangan seperti beliau minta.

“Sekarang apa yang hendak dibincang…mereka (pembangkang) sebelum ini pun sudah membuat kenyataan yang mereka tidak mahu.

“Saya memerlukan komitmen daripada mereka sebab itu saya mahu mereka kemukakan surat dan nyatakan apa yang dikehendaki,” katanya menurut Berita Harian di Kuching.

Khamis lalu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan mendakwa menghubungi Fadillah untuk bertanyakan mengenai jawatankuasa bagi melihat semua cadangan pembangkang ke arah penyelesaian menyeluruh.

Ketika diminta mengulas dakwaan itu, Fadillah meminta media mendapatkan pengesahan daripada Ali Parlimen Kota Bharu itu.

Sebelum ini, PN menolak draf memorandum persefahaman (MoU) kerajaan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan.

Pembangkang mendakwa, cadangan MoU itu juga bertentangan nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.