
Susulan itu, Pengerusi Asyraf Wajdi Dusuki menafikan dakwaan Che Ta sebelum ini, konon semua hutang pinjaman perniagaan diterimanya daripada Mara berjumlah hampir RM1 juta sudah dibayar sepenuhnya.
Asyraf berkata, setakat 18 Feb lalu, Che Ta membayar RM689,307.59 dengan kira-kira RM150,000 bayaran secara tunai di pejabat Mara, manakala selebihnya secara transaksi dalam talian menerusi akaun.
Katanya, bayaran itu dibuat pelakon terbabit bagi menangguhkan tindakan pelaksanaan penghakiman diambil Mara untuk mahkamah melelong hartanya yang kemudian boleh menyebabkan kebankrapan.
Bagaimanapun, beliau berkata, Che Ta diberi tempoh hingga 31 Mac untuk melunaskan baki hutang sepenuhnya.
Tambahnya, tindakan tegas terhadap Che Ta diambil agensi itu sama seperti dikenakan kepada peminjam lain yang gagal membayar semula pinjaman mereka sehingga menyebabkan Mara menanggung pinjaman tidak berbayar (NPL) mencecah 49.6%.
“Rozita belum bayar habis hutangnya dengan Mara … dengan baki tertunggak perlu dilunaskan sepenuhnya sebelum 31 Mac ini,” katanya menurut Berita Harian.
“Jadi, dakwaan kononnya pelakon itu sudah melangsaikan semua hutangnya dengan Mara adalah tidak benar. Jika dikira, baki hutang Rozita itu jika dibayar boleh menampung hampir 50 pelajar di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM).
“Saya tegas dan tidak berkompromi dengan sesiapa juga yang berhutang dengan Mara termasuk artis atau golongan ternama supaya membayar balik pinjaman mereka kerana ia duit rakyat yang boleh digunakan bagi membantu pelajar dan usahawan lain yang memerlukan.”
Dua minggu lalu, Che Ta memaklumkan sudah menjelaskan semua hutang tertunggaknya dengan Mara.
Pada 10 Dis lalu, kediaman Che Ta di Kota Damansara diserbu pegawai Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta dibuatnya pada 2017.
Pada 19 Feb, Asyraf mendedahkan NPL ditanggung Mara kini mencecah 49.6% bernilai RM893 juta, menyebabkan agensi itu akan mengambil tindakan tegas termasuk saman terhadap mereka yang gagal melunaskan pinjaman.
Beliau berkata, Mara tidak akan berkompromi dan enggan melayan sebarang permohonan peminjam yang menghantar surat menggunakan nama VIP tertentu untuk mengelak membayar pinjaman perniagaan diberikan kepada mereka kerana wang itu adalah duit rakyat.
Sehingga Oktober tahun lalu, seramai 97,866 daripada jumlah keseluruhan 197,348 peminjam aktif Mara disenarai hitam sebagai langkah pengukuhan kepada pembayaran pinjaman.
Tindakan senarai hitam dikenakan terhadap peminjam tidak dapat membayar pinjaman dalam tempoh tiga bulan dan terangkum dalam pengurusan Mara sahaja tanpa membabitkan agensi dan ekosistem lain.
Sementara itu, Asyraf berkata, ketegasan Mara menuntut semula hutang tertunggaknya membuktikan ia serius mahu menepis tanggapan orang ramai yang menganggap konon pinjaman dibuat tidak perlu dibayar semula.