Polis tahan ‘transporter’, rampas dadah RM2.58 juta

Polis tahan ‘transporter’, rampas dadah RM2.58 juta

Keseluruhan rampasan dadah melibatkan 15.1kg serbuk ekstasi dan 55g syabu.

m kumar
Ketua Polis Johor M Kumar berkata kegiatan pengedaran ini dipercayai aktif sejak Januari lepas. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.58 juta dalam satu operasi di sekitar daerah ini pada 16 Feb lalu.

Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata lelaki berusia 39 tahun dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ sindiket itu ditahan di tepi Jalan Datuk Abdullah Tahir pada 4.30 pagi.

Beliau berkata, serbuan susulan dilakukan di dua kondominium, yang membawa kepada keseluruhan rampasan dadah melibatkan 15.1kg serbuk ekstasi dan 55g syabu.

“Kegiatan pengedaran ini dipercayai aktif sejak Januari lepas dengan menjadikan kondominium berpagar dan berpengawal sebagai tempat menyimpan serta membungkus semula dadah.

“Lelaki tersebut dipercayai tinggal di tempat lain dan menggunakan premis (kondominium) sebagai stor, yang turut disewa bukan atas nama suspek,” katanya pada sidang media di IPK Johor.

Kumar berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan untuk memproses dan membungkus dadah serta sebuah kereta dan wang tunai RM220.

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Menurutnya, suspek telah dituduh di mahkamah hari ini atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya sedang mengesan seorang lelaki dikenali Tan Hua Chiek, 34, beralamat di Kuching, Sarawak, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Justeru, beliau meminta bantuan orang ramai untuk tampil ke hadapan sekiranya mempunyai maklumat mengenai individu itu.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang terbabit dalam sindiket berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.