
Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun membuat laporan pada 10.21 pagi tadi, selepas melihat video tular di aplikasi WhatsApp.
“IPD Gombak menerima satu laporan polis berkaitan video tular memaparkan perselisihan faham antara seorang wanita dan lelaki berhubung kematian seekor anak anjing di kawasan Bukit Rawang Jaya, Rawang.
“Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku kelmarin kira-kira 6.45 petang,” katanya menurut Harian Metro sambil menambah siasatan awal mendapati ia anjing liar tidak bertuan.
Terdahulu, satu klip video tiga minit tiga saat tular memaparkan seorang lelaki bertekak dengan beberapa individu yang mendakwanya membunuh seekor anak anjing hitam terkulai di atas jalan.