Pemimpin ‘khianat’ tak akan dipilih untuk PRN, kata Bung

Pemimpin ‘khianat’ tak akan dipilih untuk PRN, kata Bung

Bung Moktar kata Umno tidak perlu pemimpin tidak setia, mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Shahelmey Yahya berkait status keahliannya.

bung moktar and shahelmey yahya
Ketua Umno Sabah Bung Moktar kata keahlian Timbalan Ketua Menteri Shahelmey Yahya digantung kerana tindakan beliau yang ‘mengkhianati’ mandat parti.
PETALING JAYA:
Umno Sabah tidak akan memilih atau menyokong mana-mana pemimpin yang telah ‘mengkhianati’ parti untuk bertanding pada pilihan raya akan datang, kata ketuanya.

Bung Moktar Radin mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Shahelmey Yahya yang berkata beliau akan membuat pengesahan mengenai status keahlian dalam Umno, selepas dikatakan digantung sebelum ini.

“Sekiranya ada pihak yang hanya mahu menyemak keahlian semata-mata kerana ingin bertanding dalam pilihan raya, maka Umno harus bertegas bahawa parti ini tidak memerlukan pemimpin yang tidak setia,” menurut kenyataan.

Bung mengumumkan keahlian Shahelmey digantung enam tahun pada 18 Mac 2023.

Sebelum itu, Shahelmey mengekalkan sokongannya kepada Hajiji Noor sebagai ketua menteri, selepas Bung mengumumkan Barisan Nasional Sabah menarik balik sokongan pada 7 Jan tahun sama.

“Pertama sekali, perlu ditegaskan bahawa penggantungan keahlian Shahelmey bukan disebabkan sokongannya kepada Hajiji, tetapi kerana tindakan beliau yang mengkhianati perjuangan dan mandat parti,” menurut Bung.

Setia kepada perjuangan Umno bermakna harus mematuhi dasar dan keputusan parti, tegasnya.

“Justeru, saya berpandangan bahawa Majlis Kerja Tertinggi Umno perlu bertegas dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.