
Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu menegaskan perkara itu telah berada di bawah proses undang-undang yang perlu dihormati semua pihak.
“Bahawasanya perkara ini adalah berada dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.
“Oleh itu, semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik,” titahnya menurut Facebook Kesultanan Pahang.
Baginda bertitah demikian ketika Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Kuantan, semalam.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 24 Mac bagi mendengar permohonan kebenaran rayuan peguam negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung semakan kehakiman diberikan kepada Najib Razak, dalam usaha bagi dirinya menghabiskan baki pemenjaraan bawah tahanan rumah.
Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan melaksanakan perintah tambahan dikeluarkan Al-Sultan Abdullah, ketika baginda menjadi Agong.
Hakim Firuz Jaffril dan Azhahari Kamal Ramli mendapati keputusan Mahkamah Tinggi memutuskan afidavit Najib berdasarkan khabar angin tidak dapat dipertahankan susulan keterangan baharu dikemukakan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Afidavit itu menyatakan Najib memperoleh salinan adendum daripada Sultan Pahang selepas pendengaran di Mahkamah Tinggi pada Julai lalu.
Hakim Azizah Nawawi, yang mempengerusikan panel Mahkamah Rayuan, berbeza pandangan dan menyatakan keputusan Mahkamah Tinggi adalah betul bahawa perintah mandamus tidak boleh diberikan terhadap Lembaga Pengampunan.
Azizah berkata, tiada peruntukan undang-undang yang boleh membuat lembaga mengesah atau mendedahkan kewujudan perintah pengampunan, termasuk titah adendum.