
Daripada jumlah itu, katanya, pengeluaran getah kering sebanyak 367,238 tan manakala pengeluaran lateks sebanyak 19,274 tan.
“Bagi penggunaan industri hiliran tempatan dan pasaran eksport getah asli mencatatkan sebanyak 1,056,562 tan manakala penggunaan hiliran tempatan sebanyak 215,816 tan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai sasaran peningkatan pengeluaran lateks setiap tahun dan tahun-tahun seterusnya.
Menjawab soalan asal beliau mengenai tempoh untuk memastikan semua getah asli keluaran Malaysia memperoleh sijil Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR), Chan berkata, Lembaga Getah Malaysia (LGM) menyasarkan 115,000 pekebun kecil getah dan lebih 300 estet di Semenanjung menjalani pemeriksaan pematuhan MSNR sepenuhnya sebelum 30 Dis tahun ini.
“Sebagai persediaan, bermula 1 Julai 2024, LGM telah giat menjalankan pemeriksaan pematuhan MSNR terhadap pekebun kecil getah dan pemegang lesen LGM melalui kaedah bancian bersemuka serta pengumpulan maklumat lokasi kebun dan premis,” katanya.
Menurut Chan, langkah ini selari dengan pelaksanaan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang akan mula berkuat kuasa pada tarikh sama.