
Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin, berkata penurunan itu disebabkan oleh hapus kira dan taksiran kurangan cukai.
“Antara perkara yang menyebabkan taksiran kurangan adalah disebabkan rayuan pembayar cukai (56.2%), keputusan mahkamah (8.2%) dan pengecualian cukai di bawah Seksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967 (35.6%),” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau juga memberi amaran kuasa melulus mengurangkan cukai diberikan kepada pegawai LHDN tanpa amaun ditetapkan dilihat sebagai satu kelompangan yang boleh membuka ruang kepada ketirisan.
“Kuasa melulus bagi kelulusan taksiran kurangan dan cukai dilepaskan diturunkan kuasa kepada pegawai mengikut peringkat-peringkat sama ada di jabatan atau di negeri tanpa had amaun ditetapkan.
“Perkara ini dilihat sebagai satu ‘loophole’ yang boleh membuka ruang kepada ketirisan.” katanya.
PAC mengadakan mesyuarat prosiding pada 5 Nov 2024, berdasarkan penemuan audit yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 – Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2023.
Jawatankuasa itu turut memaklumkan bahawa LHDN membuat penambahbaikan terhadap proses tadbir urus yang mana kes-kes taksiran kurangan membabitkan jumlah melebihi RM10 juta.
Mas Ermieyati berkata LHDN juga menggunakan sistem dalaman, ReMS 2.0 untuk mengesan ketidakpatuhan dan pelaksanaan penguatkuasaan e-Invois bagi membantu kutipan cukai dengan lebih berkesan.
Antara penemuan utama dalam laporan PAC ialah peningkatan ketara ABT daripada RM18.484 bilion pada 2017 kepada RM43.693 bilion pada 2021, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh penguatkuasaan lebih ketat oleh LHDN melalui audit dan siasatan.
PAC juga mencadangan penambahbaikan seperti meneruskan tindakan pematuhan dan penguatkuasaan, menambah baik proses pentaksiran cukai, mengetatkan undang-undang bagi mengurangkan kes rayuan dan penipuan cukai.