Kerajaan ada sumber, tetapi tiada iltizam perbaharu perkhidmatan awam, kata pakar

Kerajaan ada sumber, tetapi tiada iltizam perbaharu perkhidmatan awam, kata pakar

'Kewajaran politik dan sosial' mungkin sekat reformasi dalam perkhidmatan awam.

perhimpunan penjawat awam
Pakar ekonomi Chung Tin Fah berkata, kerajaan perlu memikirkan cara mengemudi reformasi perkhidmatan awam dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia mempunyai sumber untuk memperbaharu perkhidmatan awam, termasuk dengan melatih semula penjawat awam untuk keperluan masa depan, tetapi tidak mempunyai iltizam politik untuk melaksanakannya, menurut seorang pakar ekonomi.

Chung Tin Fah daripada Universiti HELP mengaitkan keengganan kerajaan melaksanakan reformasi penting dalam perkhidmatan awam, seperti pemberhentian kerja dan penempatan semula, dengan ‘kewajaran politik dan sosial’.

Chung Tin Fah
Chung Tin Fah.

“Bagaimanakah kerajaan hendak laksanakan reformasi seperti penempatan semula atau mengurangkan kakitangan dalam perkhidmatan awam yang didominasi Melayu, apabila (kerajaan) bergantung kepada mereka ini sebagai bank undi?

“Kerajaan perlu fikirkan cara mengemudi (reformasi perkhidmatan awam) dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia,” katanya.

Pada 2022, didedahkan bahawa kira-kira 90% daripada 1.2 juta penjawat awam terdiri daripada Bumiputera.

Chung juga berkata, tidak realistik untuk mengharapkan peningkatan kecekapan dan daya pengeluaran dengan menugaskan atau menempatkan semula penjawat awam tanpa memberikan latihan sewajarnya.

“Jika mahu tempatkan semula penjawat awam, mereka mesti dilatih semula,” katanya.

“Malaysia mempunyai idea dan institusi yang diperlukan untuk menyediakan latihan sedemikian, seperti Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) tetapi sekali lagi, saya ragu-ragu sama ada kerajaan mempunyai iltizam untuk melaksanakannya,” katanya kepada FMT.

Chung, yang pernah menjadi perunding bagi pelbagai badan dan institusi, termasuk dalam kerajaan, berkata Jabatan Audit Negara telah mengenal pasti jumlah penjawat awam terlalu ramai sebagai isu penting yang perlu ditangani.

“Jabatan Audit Negara mempunyai angkanya. Mereka telah melakukan kerja mereka, tetapi persoalan sebenarnya adalah bagaimana kerajaan hendak bertindak atas maklumat ini.

“Alatnya, proses pemikiran dan banyak perkara lain, semuanya sudah ada. Cara laksanakannya sudah ada, tetapi iltizam tiada,” katanya.

Chung mencadangkan kerajaan meningkatkan daya pengeluaran dan kecekapan dalam perkhidmatan awam dengan mengutamakan penambahbaikan keadaan kerja dan menawarkan gaji yang kompetitif, bukannya semata-mata menumpukan pada penempatan dan latihan semula.

Pada awal Februari, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin mencadangkan Malaysia menubuhkan jabatan kecekapan kerajaan (Doge), seperti di Amerika Syarikat, untuk menyelaras dan memperbaharu operasi perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, beliau menolak kemungkinan pemberhentian kerja, mencadangkan pekerja dilatih dan ditempatkan semula dalam pada perkhidmatan awam menyesuaikan diri dengan automasi dan tuntutan masa akan datang.

Ahli sains politik Wong Chin Huat daripada Universiti Sunway bersetuju dengan Khairy bahawa pemberhentian kerja bukanlah suatu penyelesaian.

Beliau memberitahu FMT, langkah menyesuaikan jumlah penjawat awam mesti dilakukan secara strategik dan dengan perancangan teliti.

Wong Chin Huat
Wong Chin Huat.

Beliau juga mengingatkan rakyat agar tidak melihat jabatan kecekapan kerajaan secara ‘tidak kritis dan di luar konteks’.

“Pendekatan Doge terhadap kecekapan kerajaan merupakan antara perang ideologi yang bukan sahaja mengurangkan pembaziran dalam perkhidmatan awam, tetapi juga mengurangkan kebajikan sosial, bantuan dan barangan awam.

“Memperbetul (saiz) sektor awam mesti dibincangkan, dirancang dan dilaksanakan dengan teliti, dengan rasa empati dan hormat terhadap semua pihak berkepentingan supaya mampu meningkatkan kecekapan kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.