
Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) membuat saranan itu bagi memastikan pemilihannya benar-benar bebas dan telus supaya dapat berfungsi dengan baik tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
“Saya mencadangkan pelantikan anggota majlis media ini hendaklah melalui proses lebih telus, ia boleh dibuat menerusi jawatankuasa bebas atau saringan oleh Parlimen seperti pemilihan jawatankuasa pilihan khas.
“Ia boleh dinilai oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media 2024 di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) pula menggesa wakil kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik ke majlis itu.
Menurutnya, langkah itu secara tidak langsung dapat membantu tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 antara kerajaan persekutuan dan negeri kerana media mempunyai kuasa besar.
Beliau menyarankan masing-masing seorang wakil dari kerajaan Sarawak dan Sabah serta wakil persatuan pengamal media dari Sarawak dan Sabah.
“Ia boleh meletakkan ‘framework’ Perjanjian Malaysia yang menentukan hak kesaksamaan khasnya dalam Majlis Media.
“Kalau ada wakil dari kerajaan persekutuan, negeri Sabah dan Sarawak sudah semestinya mereka boleh memberi pendapat dan pandangan demi kebaikan negara,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media 2024 di Dewan Rakyat.
Willie turut mencadangkan Majlis Media diberikan dana oleh kerajaan secara tetap bagi mengelakkan ia bergantung kepada sumbangan dana luar yang boleh mempengaruhi media untuk kepentingan diri.
“Majlis ini boleh buat ‘fundraising’ dari mana-mana sumber, saya khuatir jika mereka dapat dana daripada individu atau organisasi tertentu, ia boleh mempengaruhi keputusan, tatakelola dan hala tuju majlis ini.”
Beliau juga bimbang jika Majlis Media hanya dikuasai kumpulan tertentu dan menjadikan matlamat utama memberi kebebasan kepada badan itu gagal.
“Bagaimana nak pastikan majlis ini bebas?” soalnya.