
Timbalan Ketua Pemuda PAS Hafez Sabri berkata RUU yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun atau Julai ini perlu dihentikan kerana ia dilihat satu bentuk penjajahan moden.
Beliau berkata, RUU itu secara tersiratnya akan menafikan suara minoriti, menggugat kestabilan sosio ekonomi dan menindas hak golongan tertentu.
Menurutnya, RUU itu didapati memihak pemaju yang berkepentingan atas nama pembaharuan semula bandar, manakala golongan minoriti akan tertindas.
“RUU ini juga dilihat menekan penduduk bandar, khususnya masyarakat Melayu yang kurang berkemampuan.
“Mereka terpaksa berpindah dan menyerahkan tanah mereka tanpa kerelaan,” katanya dalam kenyataan sambil menyeru orang Melayu-Islam bersatu hati membantah RUU itu tanpa menyatakan bila himpunan terbabit akan diadakan.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata akta dicadangkan itu tidak akan memaksa pemilik tanah atau premis menyerahkan hartanah mereka atau mengubah komposisi etnik kawasan kediaman.
Anwar memberitahu Dewan Rakyat, status tanah asal juga tidak akan berubah sama ada rizab Melayu atau status kekal, malah kerajaan akan memastikan setiap pemilik asal hartanah memahami hak serta perlindungan diberikan.
Pembangkang mendakwa RUU itu cara halus untuk mengusir orang Melayu dan India yang miskin.
Tuan Ibrahim Tuan Man dari PAS juga berkata Ahli Parlimen Perikatan Nasional akan menentang RUU itu yang boleh mengganggu keharmonian.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bagaimanapun menafikan RUU itu menyasarkan kaum tertentu.