
Jasad Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, ditemukan di muara sungai Kampung Kerila, pada 4.20 petang tadi dengan lokasi penemuan sekitar tujuh kilometer dari rumah keluarga mangsa, di Kampung Aira Kuala Tiga, Tanah Merah, Kelantan.
Ketua Balai Bomba Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman, berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat dan keluarga turut diminta ke hospital.
“Mayat ditemui pasukan penyelamat dianggotai polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba, dan orang awam.
“Ketika kejadian paras air sungai tinggi dan hari ini air sudah surut mendorong kepada penemuan mangsa,” katanya kepada Berita Harian.
Suasana di rumah keluarga mangsa diselubungi kesedihan apabila kedua-dua ibu bapa Hud Aryan menerima berita penemuan mayat itu.
Ibu mangsa, Azean Nur Atikah Ramley, 34, tidak mampu menahan sebak dan meraung sebelum ditenangkan ahli keluarga lain.
Terdahulu, dilaporkan operasi mencari dan menyelamat yang bermula pagi ini akan menggunakan dua anjing pengesan dari Unit K9.
Pada masa sama, operasi yang kini memasuki hari ketiga turut dibantu penduduk kampung.
Hud Aryan dilapor hilang dari rumah keluarganya dekat selepas disedari tiada dalam rumah kira-kira 7.20 malam oleh ahli keluarga.
Sebelum itu, Hud Aryan berada dalam rumah kerana diberi makan oleh ibunya sebelum wanita terbabit masuk ke dapur selepas selesai menyuap nasi kepada kanak-kanak terbabit.