Kerajaan tawar pelbagai insentif tarik pelaburan industri REE

Kerajaan tawar pelbagai insentif tarik pelaburan industri REE

Jawatankuasa teknikal telah ditubuh untuk kenal pasti peluang pelaburan serta keperluan insentif khas sektor itu, menurut Miti.

kawasan kuari Kampung Padang mukim Sungai Kecil Hilir kedah
Bagi menyokong pertumbuhan industri REE, kerajaan telah melaksanakan moratorium pengeksportan bahan mentah REE berkuat kuasa 1 Jan 2024 bagi memastikan sumber tempatan digunakan sepenuhnya. (Gambar JAS)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan komited membangunkan ekosistem industri nadir bumi (REE) merangkumi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran dengan menawarkan pelbagai insentif serta sokongan strategik bagi menarik lebih banyak pelaburan tempatan dan asing.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dalam jawapan bertulis Parlimen memaklumkan, sebuah Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Industri REE Peringkat Pertengahan dan Hiliran telah ditubuhkan bagi mengenal pasti peluang pelaburan serta keperluan insentif khas untuk sektor itu.

Ketika ini, syarikat tempatan dan asing boleh menikmati insentif umum bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 merangkumi Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan dengan pengecualian cukai separa atau sepenuhnya selama lima hingga 10 tahun bagi kegiatan pembuatan menggunakan REE telah diproses.

“Selain itu, projek bersepadu melibatkan pelaburan tinggi serta memberi manfaat besar kepada ekonomi negara boleh dipertimbangkan untuk menerima insentif cukai khas dengan kadar lebih tinggi dan tempoh lebih panjang berbanding insentif biasa,” kata Miti, menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa).

Ahmad Marzuk ingin tahu insentif atau sokongan yang perlu diberikan kepada pelabur tempatan dan asing bagi merangsang penglibatan mereka dalam pembangunan industri REE terutamanya pada peringkat pertengahan dan hiliran.

Miti berkata, kerajaan turut mengumumkan pelaksanaan Kerangka Insentif Baharu dalam Belanjawan 2025 yang memperkenalkan pendekatan ‘Tiering Approach’ dan Insentif ‘Outcome-Based’.

“Pendekatan ini membolehkan syarikat menikmati insentif lebih fleksibel, tidak hanya terhad kepada produk tertentu sekali gus meningkatkan daya saing sektor pembuatan serta menarik pelaburan dalam teknologi canggih dan inovasi baharu dalam industri REE,” katanya.

“Bagi menyokong pertumbuhan industri ini, kerajaan telah melaksanakan moratorium pengeksportan bahan mentah REE berkuat kuasa 1 Jan 2024 bagi memastikan sumber REE tempatan digunakan sepenuhnya dalam pengeluaran produk bernilai tambah tinggi pada peringkat pertengahan dan hiliran.”

Sebagai contoh, katanya, penghasilan supermagnet berasaskan REE tempatan akan menjadi pemacu utama untuk industri berteknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik, kenderaan elektrik, aeroangkasa, peranti perubatan serta tenaga boleh baharu.

“Selain insentif fiskal, kerajaan turut memperkukuh kerjasama strategik dengan pelabur utama dalam industri REE. Ini dijangka menarik lebih banyak pelabur baharu pada peringkat hiliran untuk menghasilkan supermagnet di Malaysia.

“Langkah ini bukan sahaja mewujudkan peluang pelaburan, tetapi juga memacu pemindahan teknologi dan pembangunan tenaga kerja tempatan dalam bidang berkaitan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.