Hanya Syed Saddiq datang runding isu peruntukan Ahli Parlimen pembangkang, kata Fadillah

Hanya Syed Saddiq datang runding isu peruntukan Ahli Parlimen pembangkang, kata Fadillah

Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan itu berkata tiada pertemuan antara beliau dan ketua pembangkang Hamzah Zainudin hingga kini.

dewan-rakyat
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata sebuah jawatankuasa perlu ditubuhkan bagi meneliti cadangan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata hanya wakil rakyat Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menemuinya untuk berunding isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang setakat ini.

Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan itu berkata, disebabkan tiada pertemuan antara beliau dan ketua pembangkang, Hamzah Zainudin hingga kini, jadi sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi membincangkan cadangan berhubung isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Menurutnya jawatankuasa itu perlu ditubuhkan bagi meneliti sebarang cadangan pembangkang bagi menyelesaikan isu berkenaan secara lebih konsensus dan menyeluruh.

“Kalau dari segi peruntukan, dulu juga pembangkang yang mengatakan dia orang tak nak berunding, dia orang tak setuju apa semua. Sebab itu saya kata tak ada perundingan, yang ada Syed Saddiq memang saya menerima cadangan daripada dia, yang lain tak ada…apa kita nak buat.

“Sebab kerajaan ini kita terpaksa ada konsensus, jadi konsenses itu perlu kita dapatkan, tapi tak perlu bawa ke media, nanti kita bincang, siapa-siapa yang nak bincang, kita bincang.

“Saya perlu halusi segala cadangan sebab walaupun banyak cadangan dikemukakan oleh Syed Saddiq, tapi dia nak mewakili pembangkang…tapi dia hanya mewakili diri sendiri sebab pembangkang sudah ada ketua pembangkang, jadi kita kena lihat keseluruhan.”

Menteri peralihan tenaga dan transformasi air itu berkata demikian menurut Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan di ibu negara.

Syed Saddiq sebelum ini berkata, beliau sudah lima kali berunding dengan Fadillah seperti dinasihatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, namun tiada perkembangan positif hingga kini.

Semalam, Anwar sekali lagi menegaskan tiada sebarang syarat pernah ditetapkan untuk Ahli Parlimen pembangkang menyokongnya bagi mendapatkan peruntukan.

Perikatan Nasional sebelum ini menolak draf cadangan memorandum persefahaman daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen gabungan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.