Penjawat awam berdepan 48 tuduhan terima wang RM270,400

Penjawat awam berdepan 48 tuduhan terima wang RM270,400

Penolong jurutera kanan JKR Raub itu mengaku tidak bersalah terima wang daripada seorang individu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Mohd Farisyal Mohd Alias, 46, dibenar ikat jamin RM28,000 selain diarah lapor diri di pejabat SPRM Raub setiap bulan dengan pasport diserah kepada mahkamah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas 48 pertuduhan menerima wang berjumlah RM270,400, sejak September 2019 hingga Disember 2022.

Tertuduh, Mohd Farisyal Mohd Alias, 46, mohon dibicarakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai penolong jurutera kanan Jabatan Kerja Raya daerah Raub didakwa menerima untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang antara RM500 dan RM25,000 secara dalam talian daripada seorang individu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Semua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Raub antara September 2019 dan Disember 2022, menurut Harian Metro.

Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ezuain Farhana Ahmad, manakala tertuduh diwakili Mohd Falihin Kamil Mohamed Sazali.

Bagaimanapun, Falihin meminta wang jaminan dikurangkan kerana anak guamnya yang kini bertugas di jabatan lain di Raub menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga anak masih bersekolah.

Sazlina kemudiannya menetapkan jaminan RM28,000 bagi semua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM Raub setiap bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan, dan menyerahkan pasportnya ke mahkamah.

Mahkamah menetapkan 17 April ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.