Pemilihan PKR: Calon perlu bebas senarai hitam JPPM

Pemilihan PKR: Calon perlu bebas senarai hitam JPPM

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata peringatan itu dikeluarkan kerana parti terikat dengan Akta Pertubuhan.

PKR akan mengadakan pemilihan pada April dan Mei ini untuk memilih pimpinan penggal seterusnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Semua ahli PKR yang ingin bertanding pada pemilihan parti dijadualkan April dan Mei ini perlu bebas daripada senarai hitam Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Setiausaha Agung Fuziah Salleh berkata, peringatan itu dikeluarkan baru-baru ini bagi mengelakkan parti dikenakan tindakan kerana terikat dengan Akta Pertubuhan.

“Sekiranya ada pemegang jawatan yang disenarai hitam oleh JPPM maka parti boleh dikenakan tindakan.

“Itu alasannya (mereka) tidak dibenarkan bertanding,” katanya kepada FMT mengulas penularan arahan didakwa dikeluarkan olehnya berhubung perkara itu.

“Bukan arahan tetapi sekadar peringatan.”

Beliau berkata, ketika ini semua pimpinan parti tidak termasuk dalam senarai hitam JPPM.

“Memang ada persefahaman antara kami sebab itu memang syarat JPPM. Cuma kali ini saya beri penekanan,” katanya.

Pertandingan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Pemuda dan Wanita PKR akan berlangsung 24 Mei manakala pemilihan peringkat bahagian ditetapkan 11 hingga 20 April.

Fuziah turut menjelaskan pencalonan bagi peringkat bahagian akan berlangsung pada 14 hingga 16 Mac manakala pencalonan MPP serta pimpinan sayap berlangsung 3 dan 4 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.