
Penganjur Festival Good Vibes menyaman The 1975 dan setiap ahlinya di mahkamah di United Kingdom pada Julai lepas, selepas Healy mencium salah seorang ahli kumpulannya, seorang lelaki, ketika persembahan mereka pada 2023, menyebabkan festival itu dibatalkan.
Future Sound Asia (FSA) menuntut ganti rugi RM11.25 juta, mendakwa The 1975 Productions LLP melanggar kontrak, dan keempat-empat ahlinya melanggar kewajipan berjaga-jaga (duty of care)
Bagaimanapun, Hakim William Hansen memutuskan semalam, ‘tiada prospek sebenar’ untuk membuktikan bahawa ahli kumpulan tersebut mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap FSA, lapor The Independent.
Menurut penghakiman bertulis, beliau berkata, ‘tidak adil, tidak patut dan tidak munasabah’ mempertanggungjawabkan ahli kumpulan tersebut kerana mereka ‘tidak didakwa tahu’ tentang butiran garis panduan Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal), atau undang-undang Malaysia dan peraturan persembahan.
Hansen mengarahkan FSA membayar kos guaman RM557,224, tetapi membenarkan tuntutan terhadap The 1975 Productions LLP sebagai entiti korporat diteruskan.
Peguam kumpulan itu, Edmund Cullen sebelum ini berkata, dakwaan itu ialah cubaan ‘tidak sah, palsu dan tidak koheren’ untuk menyalahkan ahli-ahli kumpulan itu.
Bagaimanapun, peguam FSA Andrew Burns berkata, kumpulan itu ‘sengaja berkelakuan dengan cara yang mencabar dan memprovokasi pihak berkuasa Malaysia’.
Festival muzik itu, yang sepatutnya berlangsung dari 21 hingga 23 Julai, dibatalkan awal selepas Healy mengkritik pendirian Malaysia berhubung komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender sebelum mencium ahli kumpulannya pada hari pertama acara itu.