
Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, berkata satu operasi bersepadu dijalankan bersama Jabatan Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melibatkan serbuan ke atas 12 kilang di sekitar Selangor dan Johor, hari ini.
Beliau berkata, kilang tersebut disyaki terlibat dalam pemprosesan dan pelupusan e-waste yang tidak dibenarkan, termasuk gentian kaca, plastik, besi dan logam.
“Sebanyak 16 suspek berusia antara 30 hingga 40-an telah ditahan sekitar Selangor dan Segamat, Johor antara 9.30 pagi hingga 12 tengah hari tadi menerusi Operasi X.
“Ada dalam kalangan suspek disyaki merupakan pemilik syarikat yang menggunakan pegawai dagang yang melanggar syarat permohonan sebagai pegawai dagang dan membayar wang rasuah kepada penguat kuasa untuk melindungi perniagaan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Serbuan dilakukan hari ini, berpandukan maklumat hasil risikan selama kira-kira tiga bulan. Semua suspek dibawa ke SPRM Melaka petang tadi dan ditahan selepas dirakam keterangan.
Khusairi berkata, penahanan itu mencerminkan komitmen teguh SPRM, imigresen dan JAS dalam memastikan usaha memerangi rasuah, khususnya yang melibatkan sektor penguatkuasaan demi memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara.
Kes disiasat bawah Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, tinjauan Bernama di sebuah kilang diserbu SPRM dan imigresen hari ini di Jalan Buloh Kasap, Segamat, mendapati pihak majikan turut menyediakan asrama kepada pekerja warga asing itu. Namun, asrama yang mempunyai sekurang-kurang empat blok itu dalam keadaan kotor, tidak selesa serta dihuni melebihi kapasiti sepatutnya.
Setiap bilik dilengkapi katil dua tingkat buatan sendiri, alatan memasak yang berselerak, serta sambungan wayar elektrik yang terdedah sekali gus merisikokan nyawa penghuni.
Khamis lalu, polis dengan kerjasama JAS menumpaskan kegiatan memproses e-waste secara haram di seluruh negara, melibatkan nilai rampasan berjumlah RM3.8 bilion bagi tempoh 1 Jan 2024 hingga 17 Feb lalu.