
Menurutnya 3,990 permohonan diterima tahun ini, sedangkan hanya 260 pelajar akan diambil setiap tahun.
“Sebenarnya keyakinan rakyat Malaysia sangat tinggi. Sebanyak 2,200 permohonan diterima pada 2024 sedangkan pengambilan 260 orang saja.
“Pada 2025 pula, walaupun pelbagai isu (termasuk buli) dibangkitkan, tetapi di MTD kita ada disiplin tersendiri dan keyakinan oleh (ibu bapa dan pemohon) itu sendiri. Kalau kita lihat pada tahun ini meningkat kepada 3,990 permohonan, walaupun pengambilannya 260 orang.
“Maktab ini kalau nak masuk prosesnya dan kewibawaan seorang pelajar akan diambil kira dalam semua aspek, bukan saja pendidikan, tetapi kokurikulum juga dinilai, termasuk sikap dan keupayaan mereka,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) adakah penilaian dari segi perwatakan akan dibuat sebelum mengambil pelajar memasuki MTD dalam usaha membendung isu buli di institusi pendidikan itu.
Adly berkata siasatan akan dilaksanakan dan tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu terbabit kejadian buli, termasuk pegawai yang cuba menyembunyikan kesalahan itu.
Menurutnya, tindakan tegas itu termasuk membuang pelajar yang didapati membuli.
“Tidak sepatutnya ada tindakan fizikal dari anggota atau pelajar kita di (MTD), tindakan disiplin akan diambil sama ada di antara pelajar dengan pelajar mahupun jurulatih dan seumpamanya.
“Dalam kes buli, bukan saja tindakan tegas daripada kita, tetapi pembuli juga harus terima hakikat mereka akan berdepan tindakan undang-undang negara.”
Beliau berkata, antara usaha dilakukan untuk membendung kejadian buli di MTD termasuk pengasingan blok penginapan, jurulatih akan melakukan rondaan berkala selepas 11 malam serta menambah kamera litar tertutup di kawasan penginapan.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa bekas pelajar dan ibu bapa mendakwa dibuli serta didenda secara keterlaluan oleh senior Tingkatan Lima.
Pengadu dilaporkan mendakwa mereka dipaksa melakukan denda “commando rest” sambil muka direndam dalam baldi berisi air yang bukannya gurauan, sebaliknya mahu membunuh.