
Ahli yang dipilih kemudiannya akan memilih pemegang jawatan parti bagi penggal 2025-2028, tempoh penting menjelang pilihan raya umum (PRU16) sebelum November 2027.
Walaupun setiausaha agung memegang kuasa eksekutif bawah perlembagaan DAP, pengerusi kekal tokoh penting, mengetuai jawatankuasa lima anggota yang bertanggungjawab memilih calon pilihan raya.
Selain setiausaha agung dan pengerusi, CEC turut dianggotai timbalan pengerusi dan dua naib pengerusi.
Laluan sukar Guan Eng
Sumber menjangkakan Guan Eng akan mendapat tempat dalam CEC tetapi mungkin sukar mendapat undi yang mencukupi daripada CEC sendiri untuk mengekalkan jawatan pengerusi parti jika dipertandingkan.
Perlembagaan DAP mewajibkan wanita menduduki sembilan daripada 30 kerusi dalam CEC.
Mengikut sejarah, peranan kepimpinan dalam CEC diputuskan secara konsensus, dengan pengundian diadakan jika terdapat cabaran.
“Sejujurnya, pada masa ini, Guan Eng dilihat agak sukar mengekalkan jawatannya kerana terdapat tentangan besar. (Ada) usaha untuk menamatkan kerjayanya di dalam dan di luar parti. Beliau tidak akan mampu (mempertahankan kedudukannya) sendirian.
“Beliau perlu dapatkan sokongan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Ketua (DAP) Perak Nga Kor Ming, kedua-duanya menteri dalam kerajaan semasa. Pengaruh mereka besar atas keputusan pemilihan,” kata sumber itu kepada FMT.
Kegagalan Guan Eng mempertahankan jawatan pengerusi boleh menandakan pengakhiran kerjaya politiknya, kerana ia akan merisikokan pencalonannya pada PRU16.
Perjuangan politik warisan
Satu lagi sumber parti berkata, sejarah perjuangan politik Guan Eng – termasuk penahanannya dan bapanya, Kit Siang, bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini tidak lagi aktif, dan hukuman penjara 18 bulan yang dijalaninya dalam kes Rahim Thamby Chik pada 1998 – mungkin meraih sedikit simpati baginya tetapi mungkin tidak cukup untuk menjamin kemenangan.
Beliau berkata, pemimpin dan ahli lebih lama yang menjadi saksi perjuangan itu sama ada telah tiada atau digantikan oleh generasi muda yang bersedia menguasai parti sepenuhnya.
“Kita telah lihat bagaimana pemimpin kanan dalam parti politik tidak lagi boleh bersandarkan kejayaan masa lalu. Malah (terdapat) satu kumpulan yang merayu kepada perwakilan supaya mengenang pengorbanan dua beranak itu yang telah mendukung DAP ke tahapnya sekarang.
“Ada yang kata walaupun (Guan Eng) hampir mencecah usia 65 tahun, beliau masih ‘muda’ dan bertenaga. Malangnya, ini mungkin tak cukup untuk beliau pertahankan kedudukannya.
“Menurut pengkritiknya, parti mesti merancang pelan seterusnya untuk kekal relevan dan tidak terbeban dengan perbalahan dalaman,” menurut sumber itu.
Sumber itu menganggarkan, Guan Eng mungkin mampu meraih antara lapan hingga 10 sekutu kuat dalam CEC.
Bagaimanapun, beliau masih memerlukan sokongan antara enam hingga lapan ahli dalam kalangan penyokong Loke dan Nga untuk mengekalkan jawatannya. Ironinya, Guan Eng kini perlu bergantung kepada mereka yang pernah beliau bantu naikkan.
Menurut sumber itu, ramai pemimpin kanan kecewa dengan sikap acuh tak acuh pemimpin muda terhadap pengorbanan masa lalu Guan Eng.
Siapa ganti Guan Eng?
Satu sumber berkata, puak menentang Guan Eng sedang berkempen untuk memilih Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo, yang meraih undi terbanyak pada pemilihan CEC 2022.
Walaupun kalah pada pemilihan DAP Selangor tahun lepas, sumber itu berkata, Gobind mempunyai daya tarikan nasional yang cukup untuk terpilih menganggotai CEC.
“Bagaimanapun, persoalannya adalah sama ada Gobind akan terima jawatan itu dengan mengorbankan seseorang yang selama ini menyokongnya. Kedua-duanya mempunyai hubungan peribadi dan profesional rapat yang mungkin menyebabkan Gobind (ingin) mengelak situasi tidak menyenangkan,” katanya.
Beliau berkata, nama lain yang disebut-sebut termasuk Nga dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
“Walaupun pengerusi tiada kuasa eksekutif, kedudukannya sebagai ketua jawatankuasa pilihan raya menjadikannya sangat penting pada penggal PRU,” katanya.