Pendek latihan HO bukan untuk tangani kurang doktor

Pendek latihan HO bukan untuk tangani kurang doktor

KKM berkata cadangan memendekkan tempoh latihan pegawai perubatan siswazah kepada setahun bertepatan Akta Perubatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata memendekkan tempoh latihan pegawai perubatan siswazah akan ‘tingkat produktiviti melalui latihan lebih berfokus dan efisien’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata tempoh latihan pegawai perubatan siswazah (HO) dipendekkan bukan untuk menangani kekurangan pegawai perubatan (MO), sebaliknya meningkatkan produktiviti melalui latihan lebih berfokus dan efisien.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata cadangan memendekkan tempoh latihan HO selaras dengan Akta Perubatan 1971 (Akta 50), mewajibkan tempoh latihan minimum satu tahun.

Beliau berkata, tempoh latihan sebelum ini adalah setahun sebelum ia dipanjangkan kepada dua tahun bermula 2008.

“Pemanjangan tempoh latihan ini dilaksanakan kerana berlaku peningkatan jumlah graduan perubatan pada masa ini, tetapi jumlah pakar perubatan dan MO senior tidak mencukupi untuk menyelia dan menyokong latihan mereka.

“Selaras dengan perancangan semasa, dan juga setelah beberapa penambahbaikan dibuat terhadap proses latihan termasuk jumlah pakar perubatan dan hospital berkepakaran yang semakin meningkat, KKM kini sedang dalam peringkat akhir kajian untuk kembali memendekkan tempoh latihan HO kepada setahun,” katanya dalam kenyataan.

Radzi berkata, tempoh latihan setahun dijangka lebih efisien, dengan syarat kualiti latihan ditingkatkan berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap sistem latihan sedia ada serta perkembangan terkini dalam perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

Beliau berkata, cadangan itu juga selari dengan amalan di negara lain.

Radzi berkata, KKM telah menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Akademi Perubatan Malaysia (AMM), pusat pengajian tinggi, dan ketua kepakaran.

“Selain itu, cadangan ini adalah untuk menangani isu-isu yang sering dibangkitkan oleh HO seperti beban kerja yang tinggi dan kekurangan pengiktirafan.

“Fokus utama adalah untuk meningkatkan pendedahan klinikal dan motivasi mereka,” katanya.

Radzi berkata, sekiranya cadangan itu dilaksanakan, tahun pertama latihan HO akan merangkumi Jabatan Perubatan, Jabatan Pembedahan serta Jabatan Obstetrik dan Ginekologi.

Pada tahun kedua, HO akan berperanan sebagai MO junior dengan bertugas di Jabatan Pediatrik, Ortopedik dan Perubatan Kecemasan secara giliran.

“Latihan dalam bidang anestesia, psikiatri dan perubatan keluarga pula akan diserapkan ke dalam jadual latihan di jabatan-jabatan yang relevan bagi memastikan proses latihan lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata, KKM akan memastikan HO mencapai tahap kompetensi diperlukan sebelum beralih ke peranan MO junior.

“Dalam konteks ini, penyelia-penyelia di pusat latihan akan memainkan peranan penting dalam melatih, memantau dan menilai prestasi mereka.

“Sekiranya prestasi mereka tidak memuaskan, tempoh latihan boleh dipanjangkan bagi memastikan kualiti dan kompetensi mereka terjamin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.