
Loke Siew Fook berkata, sistem itu berfungsi seperti biasa, namun disebabkan kereta api telah sampai ke destinasi, kejadian tersebut tidak dapat dielak.
“Sistem berfungsi. Kadangkala, kalau ada objek terjatuh sistem bertindak hentikan tren,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran BAS.MY Ipoh, lapor Bernama.
“Kebetulan tren telah sampai (ketika kejadian). Jadi, tidak sempat berhentikan tren, ini bukan sebab PIES gagal.”
Pada Sabtu lepas, seorang lelaki OKU penglihatan maut digilis selepas terjatuh di kawasan landasan LRT Titiwangsa.
PIES bertindak memberhentikan kereta api yang sedang menghampiri platform secara serta-merta apabila mengesan ada objek terjatuh ke atas landasan.
Sementara itu, Loke berkata, Kementerian Pengangkutan sedang berusaha menambah baik prasarana keselamatan di semua stesen LRT, terutama yang telah lama beroperasi, termasuk stesen Titiwangsa.
Ini termasuk memasang pintu penumpang yang menghadang antara stesen dan kereta api, tambahnya.
“Stesen Titiwangsa misalnya memang tiada pintu (hadang) penumpang, ia telah lebih 20 tahun beroperasi, dan kita berharap dapat tambah baik kemudahan di stesen tersebut untuk keselamatan penumpang.
“(Perkara ini) tentunya mengambil masa kerana kita lakukan secara berfasa,” katanya.
Loke berkata, sebagai langkah segera, kementerian meminta petugas keselamatan di stesen terbabit supaya lebih berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penumpang, terutamanya OKU, terjamin.