Gaduh ketika pertandingan MMA, 2 lelaki ditahan

Gaduh ketika pertandingan MMA, 2 lelaki ditahan

Pergaduhan tercetus akibat pertengkaran antara dua peserta yang dibatalkan penyertaan kerana ketidakhadiran pihak lawan atas alasan sakit.

gaduh telegram
Tular di media sosial rakaman video memaparkan aksi pergaduhan dengan beberapa individu dilihat saling memukul menggunakan kerusi plastik sebagai senjata.
SHAH ALAM:
Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat pergaduhan berkumpulan pada pertandingan seni bela diri campuran (MMA) di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pergaduhan itu tercetus akibat pertengkaran antara dua peserta yang dibatalkan penyertaan kerana ketidakhadiran pihak lawan atas alasan sakit.

Beliau berkata, pertengkaran itu kemudian bertukar kepada provokasi sehingga mendorong penyokong masing-masing iaitu kira-kira 15 individu bergaduh, sekali gus menyebabkan kecederaan kepada seorang peserta lelaki berusia 45 tahun.

“Bertindak atas maklumat pada 5.20 petang semalam, tangkapan dilakukan ke atas kedua-dua individu warga tempatan berusia 45 dan 40 tahun itu dengan masing-masing mempunyai empat dan lima rekod lampau atas pelbagai kesalahan jenayah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah. Berdasarkan makluman, mangsa warga tempatan juga berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan.

Iqbal berkata, pihaknya juga sedang menyiasat dakwaan terdapat penglibatan kongsi gelap sehingga menyebabkan situasi menjadi tidak terkawal dalam kejadian itu.

Katanya, kedua-dua suspek direman dua hari bermula hari ini hingga esok dengan kes disiasat bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan aksi pergaduhan itu, dengan beberapa individu dilihat saling memukul menggunakan kerusi plastik sebagai senjata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.