Serah notis kekosongan DUN Ayer Kuning Selasa ini

Serah notis kekosongan DUN Ayer Kuning Selasa ini

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata PRK akan diadakan susulan pemergian Ishsam Shahruddin kerana tempoh perkhidmatannya sebagai Adun tidak cukup tiga tahun.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad (dua dari kiri) menziarahi jenazah Allahyarham Ishsam Shahruddin di kediaman Allahyarham Ishsam di Desa Seri Ampang, Ipoh, hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Mohammad Zahir Abdul Khalid akan menyerahkan notis kekosongan kerusi Ayer Kuning kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selasa ini susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin.

Menurutnya, makluman rasmi kepada SPR itu dibuat mengikut proses Undang-undang Tubuh negeri serta Perlembagaan negara bagi membolehkan PRK diadakan.

“Kita tunggu minggu depan, paling awal mungkin Selasa ini dan pada masa itu saya akan jemput media sekali sempena penyiaran notis itu.

“Insya Allah minggu depan kita akan maklumkan kepada SPR seperti mana dahulu pernah jadi di DUN Slim,” katanya menurut Berita Harian di perkarangan kediaman Allahyarham Ishsam di Desa Seri Ampang, Ipoh.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad.

Saarani yang juga ketua Umno dan pengerusi Barisan Nasional Perak berkata, PRK akan diadakan susulan pemergian Ishsam yang juga ketua Umno Tapah kerana tempoh perkhidmatannya sebagai Adun tidak cukup tiga tahun.

Katanya, beliau akan meminta jentera Umno serta BN di Tapah bersiap sedia lebih awal.

Terdahulu, Ishsam disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung dan jenazahnya tiba di kediamannya 12.30 tengah malam tadi, selepas dibawa pulang dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang.

Ishsam, 59, merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pernah mewakili Perak sekitar 1980-an serta 1990-an.

Allahyarham dikatakan rebah semasa bersalaman dengan pemain di tepi padang selepas perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang petang semalam.

Pada PRU 2022, Ishsam memenangi kerusi Ayer Kuning dalam pertembungan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.