
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata semua laporan polis itu dibuat pihak mendakwa menjadi mangsa pelaburan sebuah syarikat antara 19 Jan lalu hingga kelmarin.
Menurutnya, 15 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu membabitkan kerugian berjumlah RM638,205.
“Siasatan awal mendapati syarikat ini ditubuhkan 24 Feb 2022 dan memiliki dua pengarah syarikat, termasuk Datuk terbabit yang dilantik sebagai pengarah pada 10 Mei 2022,” katanya menurut Berita Harian.
Semalam, 65 individu membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa ditipu individu bergelar Datuk dalam pelaburan saham membabitkan kerugian kira-kira RM2.5 juta.
Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, syarikat dan individu itu disyaki menawarkan pelaburan saham biasa kepada pelabur awam tanpa sebarang prospektus dikeluarkan pihak syarikat.
Ramli berkata, semakan rekod Suruhanjaya Syarikat mendapati syarikat itu mempunyai modal berbayar RM6.9 juta dan 179 pemegang saham membabitkan 175 individu serta empat syarikat.
“Daripada 15 kertas siasatan dibuka, 11 mangsa berdaftar sebagai pemegang saham.”