
Andy Hall berkata daripada 181 pekerja, 85 menerima penempatan baharu melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan komuniti Pelabuhan Klang pada Disember lalu.
Beliau juga berkata pada 6 Feb lepas, sebuah pengeluar yang berpangkalan di Johor telah diberi lampu hijau untuk mengambil 96 pekerja lagi. Pekerja dijangka mula bekerja tidak lama lagi, dengan kelulusan akhir daripada jabatan kerajaan berkaitan dijangka dalam beberapa hari.
Manakala 26 lagi pekerja asing hampir mendapat pekerjaan baharu, tambah Hall, dengan ejen tempatan Malaysia menyediakan sokongan sukarela di lapangan untuk mempercepatkan proses pertukaran majikan.

Hall berkata setakat awal Januari, 23 daripada 251 pekerja itu – sebahagian daripadanya berhutang sebanyak RM26,000 – telah pulang ke Bangladesh selepas menerima RM1,000 dan tiket penerbangan mereka dari Kawaguchi.
Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh sedang membantu penghantaran pulang 11 yang lain, yang status imigresennya tidak teratur.
“Hakikat bahawa hampir semua yang masih berada di negara ini, yang kini telah bekerja atau akan diambil bekerja secara sah tidak lama lagi adalah perkara baik. Pekerja tidak ditangkap atau dihantar pulang juga adalah bagus,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, pekerja terbabit kekal dalam ‘ikatan hutang yang teruk’, kata Hall, dengan ada yang mempunyai hutang RM25,000 atau lebih, selain tidak menerima gaji sehingga RM26,000 selama hampir setahun.
Menurut Hall, pekerja tersebut dikehendaki membayar yuran pengantara pengambilan yang terlalu tinggi untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia.
Memandangkan mereka tidak dibayar gaji, ramai pekerja ini terpaksa membeli makanan dan keperluan asas dari kedai runcit berhampiran asrama Pelabuhan Klang mereka secara hutang untuk terus hidup.
“Keadaan mereka secara amnya memang teruk,” kata Hall.
Pada 18 Dis, dilaporkan bahawa Kawaguchi telah bersetuju untuk membayar gaji tertunggak hampir RM3 juta kepada 251 pekerja itu. Sementara itu, JTK Putrajaya dan Pelabuhan Klang bersetuju mengatur supaya mereka diambil bekerja dengan syarikat lain.
Persetujuan itu dicapai berikutan rundingan yang berlangsung lima hari selepas pekerja mengadakan protes aman di luar kilang syarikat itu di Pelabuhan Klang untuk menuntut bayaran.
Pada Januari, FMT melaporkan bahawa 251 pekerja asing, yang tidak dibayar gaji tujuh bulan tahun lepas, merancang untuk mengheret dua syarikat Jepun itu ke mahkamah di Washington DC.
Pada masa itu, Hall berkata pekerja itu merancang untuk menyaman syarikat itu kerana eksploitasi, penganiayaan, dan tidak membayar gaji. Saman itu dikatakan masih ‘dalam proses’.