RUU bangun semula bandar bukan akta rampas rumah, tegas ketua pengarah

RUU bangun semula bandar bukan akta rampas rumah, tegas ketua pengarah

Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Alias Rameli berkata RUU itu bagi menangani isu bangunan usang, khasnya di bandar utama.

Alias Rameli
Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Alias Rameli berkata matlamat utama RUU Pembaharuan Semula Bandar bagi memastikan pembangunan semula bandar dilakukan dengan persetujuan pemilik dan memberi nilai tambah kepada hartanah mereka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar bukan “akta rampas rumah” untuk mengambil alih hartanah pemilik sewenang-wenangnya, tegas Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Alias Rameli.

Beliau berkata, RUU itu bertujuan menangani isu bangunan usang, khasnya di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru serta Pulau Pinang bagi memastikan pembangunan semula dilaksanakan secara adil, memanfaatkan pemilik hartanah serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita tidak boleh membiarkan bangunan berusia lebih 30 atau 50 tahun dalam keadaan usang di tengah bandar. Oleh itu, KPKT melalui PLANMalaysia sedang merangka perundangan khusus untuk pembaharuan semula bandar.

“Matlamat utama ialah memastikan pembangunan semula bandar dilakukan dengan persetujuan pemilik serta memberi nilai tambah kepada hartanah mereka,” katanya menurut Bernama.

Berdasarkan rekod, terdapat 534 bangunan lama dikenal pasti di seluruh negara (tidak merangkumi Sabah dan Sarawak), termasuk 139 tapak di Kuala Lumpur yang disenaraikan dalam Rancangan Struktur 2040.

Menurutnya, anggaran nilai kasar pembangunan bagi 139 tapak itu boleh mencecah RM355.3 bilion yang akan menyumbang kepada ekonomi negara.

Alias berkata, garis panduan pembangunan semula yang diperkenalkan sebelum ini tidak mempunyai kuat kuasa perundangan dan bergantung kepada pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.

Justeru, katanya, satu punca kuasa jelas diperlukan untuk menyelaras usaha pembangunan semula bandar lebih sistematik dan taklimat khas RUU itu diadakan di Parlimen 18 Feb lalu dengan dihadiri lebih 150 Ahli Parlimen.

Beliau berkata, RUU sedang dirangka itu berlandaskan tiga prinsip utama, iaitu persetujuan pemilik, hak pemilik asal dan tempoh pembangunan jelas, di mana persetujuan pemilik ialah asas utama, sebelum sesebuah projek pembangunan semula dilaksanakan.

“Jika tiada persetujuan, pembangunan tidak boleh diteruskan. Buat masa ini, Seksyen 57 Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) menetapkan persetujuan 100% diperlukan bagi penamatan hak milik strata, tetapi ini sukar dicapai.”

Katanya, RUU itu akan menetapkan ambang persetujuan baharu berdasarkan usia bangunan, iaitu 75% persetujuan diperlukan bagi bangunan berusia lebih 30 tahun, 80% persetujuan bagi bangunan kurang 30 tahun dan 51% persetujuan bagi bangunan tidak selamat diduduki atau terbengkalai dan terbiar.

“Prinsip kedua memastikan pemilik asal mendapat pulangan setimpal. Sebagai contoh, di Residensi Kerinchi, unit asal bersaiz 400 kaki persegi yang bernilai sekitar RM70,000 digantikan dengan unit baharu berkeluasan 800 kaki persegi dan kini bernilai RM450,000.

“Prinsip ketiga ialah memastikan tempoh pembangunan jelas. Maksimum tempoh pembinaan rumah strata ialah 36 bulan…oleh itu, pemilik terlibat dalam pembangunan semula perlu diberikan penempatan sementara yang selesa dan kondusif.”

Menurutnya, RUU itu turut memperkenalkan mekanisme bagi pemilik tidak bersetuju dengan pembangunan semula.

“Sekiranya pemilik enggan menerima tawaran, terdapat tiga pilihan, iaitu pemaju boleh membeli unit mereka, kerajaan boleh mengambil tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 dengan pampasan sewajarnya atau mereka boleh menuntut pampasan di mahkamah.”

Alias berkata, kerajaan akan memastikan elemen tawaran adil kepada pemilik tanah berdasarkan konsep “one-to-one” atau “not less favourable”, iaitu pemilik mesti menerima unit baharu lebih baik daripada unit asal, selain pemaju tidak dibenarkan terbabit rundingan awal.

Pembangunan bagi tujuan ekonomi atau kepentingan awam adalah hak kerajaan untuk dilaksanakan, tetapi katanya, hak berkaitan pampasan tetap terjamin di bawah Perlembagaan serta diperuntukkan dalam Akta Pengambilan Tanah.

“Sebelum ini, pemilik sering didekati pelbagai pemaju menawarkan pelbagai pakej yang boleh menyebabkan kekeliruan. Melalui RUU ini, kerajaan akan berperanan sebagai pemudah cara untuk memastikan pemilik tidak terjejas.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.