
Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, yang juga ketua Umno negeri menyifatkan Ishsam sebagai seorang sahabat.
“Sama-sama kita doakan semoga rohnya dicucuri rahmat & ditempatkan bersama orang-orang yang beramal soleh,” katanya di Facebook.
Timbalan Presiden MIC M Saravanan kata pemergian Ishsam yang sentiasa bekerja keras suatu kehilangan bagi warga Tapah.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Hafez Sabri menggambarkan Ishsam sebagai seseorang yang selalu bertanya khabar dan bergurau bila bertemu.
“Secara peribadi hubungan saya sangat baik dengan almarhum,” katanya di Facebook.
Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, berkata Ishsam terbuka menerima pandangan yang berbeza serta komited untuk bersama menjayakan agenda perubahan.
“Beliau sebelum ini juga adalah anggota Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti yang diselia bersama oleh Bersih dan Institute for Democracy and Economic Affairs.
“Dijadualkan esok malam beliau akan menjadi panelis forum Bersih di Ipoh, namun Allah telah menetapkan takdirnya,” katanya di Facebook.
Ishsam rebah di Stadium Bandaraya di George Town, Pulau Pinang petang tadi ketika menyertai satu perlawanan bola sepak.
Ishsam berusia 58 tahun, dan menjadi wakil rakyat sejak 2022.
Pada PRU 2022, Ishsam dari Umno menang kerusi Ayer Kuning dalam pertembungan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi.
Sebelum menyertai politik, Ishsam adalah bekas pemain bola sepak profesional dan pernah membantu Perak memenangi Piala FA yang pertama kali diperkenalkan pada 1990.
Dianggap sebagai antara pemain tengah terhebat pada era 80-an dan 90-an, Ishsam juga beberapa kali dipanggil mewakili negara.