
“Semasa keluarkan kenyataan, parti (komponen) perlu mempertimbangkan faktor yang akan menjejaskan hubungan,” katanya dalam sidang media di Menara PGRM.
Lau ditanya sama ada cadangan MIPP menerajui PN di Pulau Pinang sudah dibawa ke meja rundingan PN.
Pada 29 Jan lalu, Lau dilaporkan berkata, partinya lebih berpengalaman dan pernah mentadbir Pulau Pinang, selain mempersoalkan asas bagi parti baharu MIPP mengetuai jentera PN di negeri berkenaan.
Beliau berkata demikian selepas Presiden MIPP, P Punithan dilaporkan berkata, partinya sedia memimpin PN di Pulau Pinang dan terbuka berbincang dengan pemimpin gabungan itu.
Kenyataannya menyusul laporan FMT memetik sumber bahawa PN mengalihkan fokusnya di Pulau Pinang kepada pengundi Melayu dan India untuk memenangi majoriti tipis kerusi pada PRN akan datang.
Mengulas lanjut, Lau berkata, PN belum mengadakan mesyuarat bulanan bagi Januari dan pihaknya sedia membincangkan cadangan itu, jika ia dibangkitkan MIPP.
“(Namun) sampai sekarang, saya masih pengerusi PN Pulau Pinang dan kita akan berusaha memastikan PN lebih relevan bagi persediaan PRU, PRN akan datang.”
Dalam perkembangan lain, Lau berkata, Gerakan menyasarkan bertanding tiga kerusi pada PRN Sabah dan cadangan itu bakal dibawa ke mesyuarat PN akan datang.
“Bagi Gerakan, kita telah buat persediaan, bukan saja persediaan dari segi membantu kawasan yang kita ingin bertanding, ia termasuk membantu calon PN lain.”