Asean: Malaysia boleh terajui usaha wujud internet selamat, kata ahli akademik

Asean: Malaysia boleh terajui usaha wujud internet selamat, kata ahli akademik

Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata usaha kerajaan memperkukuh keselamatan ekosistem rangkaian internet boleh jadi contohi negara anggota Asean.

CYBER HACKER
Pakar berkata kerjasama silang berkaitan diplomasi keselamatan dan siber mungkin dapat dibentuk antara negara anggota Asean dalam menangani isu keselamatan media sosial. (Gambar Envanto Elements)
PETALING JAYA:
Usaha Kementerian Komunikasi menyediakan ekosistem internet selamat untuk pelbagai lapisan boleh diterjemah dan dikongsi negara Asia Tenggara sempena kepengerusian Asean Malaysia tahun ini, kata ahli akademik.

Antara langkah drastik diambil termasuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan mewajibkan pelesenan platform media sosial.

Ahmad Faisal Mohamed Fiah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, Malaysia harus mengambil peluang untuk ‘menyatupadukan’ masyarakat Asean dalam misi mengawal selia media sosial yang juga umpama ‘senjata’ penjajahan budaya dan minda.

Katanya, kepengerusian Malaysia boleh menjadi titik tolak bahawa komuniti Asean lebih bergerak ke hadapan dalam soal penggunaan media sosial secara teratur dan tersusun, dan dijadikan teladan di seluruh dunia.

“Guna peluang ini untuk kita bukti kepada dunia, gagasan Asean ini bukan hanya pakatan beberapa negara di Asia Tenggara, tetapi masyarakat dan komuniti turut bersatu-padu dalam amalan pengendalian media sosial yang baik,” kata pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM itu.

Fahmi fadzil
Fahmi Fadzil berkata pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memberi fokus kepada isu jenayah dalam talian seperti pedofilia, scam dan judi. (Gambar Bernama)

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dipetik berkata pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memberi fokus kepada isu jenayah dalam talian seperti pedofilia, scam dan judi.

Beliau berkata, bermula 11 Feb lalu hukuman lebih berat dikuatkuasakan bagi beberapa kesalahan seperti diluluskan di Parlimen pada Disember lepas.

Pakar perang saraf dan penganalisis keselamatan & politik, Noor Nirwandy Mat Noordin, pula berkata kerjasama silang berkaitan diplomasi keselamatan dan siber mungkin dapat dibentuk antara negara anggota Asean dalam menangani isu keselamatan media sosial.

Menurut ahli akademik dari UiTM itu, langkah terbabit penting bagi mencegah ancaman radikal, penipuan antarabangsa dan sebagainya.

“Misalnya satu audit keselamatan siber boleh diwujudkan bagi memastikan negara anggota Asean diberi satu aras penanda minimum yang perlu diikuti, khususnya berhubung panduan keselamatan maklumat dan rangkaian seperti yang terkandung dalam Akta 588.

“Dan ia boleh diperluas dan memberi nilai tambah kepada standard minimum ekosistem internet di rantau Asean ini,” katanya.

Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan pengerusi Asean pada 11 Okt lalu. Sebelum ini, Malaysia menggalas peranan sebagai pengerusi pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Asean ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, kini dianggotai 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.