Tetap takrifan jelas ‘nilai’ ketika semak pelaburan baharu, kerajaan digesa

Tetap takrifan jelas ‘nilai’ ketika semak pelaburan baharu, kerajaan digesa

Ahli ekonomi Geoffrey Williams berkata pekerjaan gig dianggap 'bernilai rendah' tetapi tawar banyak pekerjaan berbanding pusat data yang dikatakan 'bernilai tinggi'.

grab rider
Pekerjaan gig yang dianggap ‘bernilai rendah’ menawarkan banyak peluang pekerjaan dan gaji lebih tinggi berbanding pelaburan pusat data ‘bernilai tinggi’, kata ahli ekonomi Geoffrey Williams.
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu menetapkan takrifan jelas mengenai apa yang dikategorikan sebagai bernilai tinggi apabila menilai pelaburan baharu, kata seorang pakar ekonomi.

Mengambil Grab sebagai contoh, Geoffrey Williams berkata penyedia perkhidmatan penghantaran itu mewujudkan hampir 280,000 pekerjaan dan memberi nilai tambah RM10 bilion kepada ekonomi, meskipun dianggap sebagai pekerjaan gig ‘bernilai rendah’.

Sebaliknya, pusat data yang sering dilabel sebagai pelaburan ‘bernilai tinggi’ tidak menawarkan jumlah pekerjaan sebanyak itu, katanya kepada FMT.

Williams, yang juga pakar dasar, berkata ini menunjukkan kepentingan mentakrifkan dengan jelas aktiviti ‘bernilai tinggi’ di bawah Kerangka Insentif Pelaburan Baharu (NIIF) yang akan dilaksanakan tahun ini.

Geoffrey Williams
Geoffrey Williams.

“Ini penting untuk memastikan Malaysia menarik jenis pelaburan yang betul, iaitu yang diperlukan oleh ekonomi serta memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), hanya 300,000 pekerjaan dijangka diwujudkan menjelang 2030. Ini menunjukkan pelaburan ‘bernilai rendah’ berpotensi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan nilai tambah kepada ekonomi.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, ketika mengumumkan pelaksanaan NIIF pada suku ketiga tahun ini, berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai tinggi dan kesan limpahan ekonomi dalam menilai cadangan pelaburan.

Liew berkata, ini satu penambahbaikan terhadap amalan atau mekanisme sedia ada yang menawarkan insentif berdasarkan jenis produk atau aktiviti.

Katanya, Fokus kini akan lebih kepada produk dibuat oleh Malaysia atau ‘Made by Malaysia’ berbanding dibuat di Malaysia atau ‘Made in Malaysia’.

Williams turut mencadangkan sistem bidaan terbuka bagi membolehkan syarikat mengemukakan cadangan pelaburan secara telus, sekali gus mengelakkan amalan ‘patronage’ atau naungan.

“Amalan naungan berlaku apabila dasar dirangka untuk menyalurkan dana melalui projek, program dan pakej dari atas kepada penerima yang dipilih lebih awal.

“Amalan naungan tidak baik kerana dana akan diberikan kepada individu berkepentingan berbanding pihak yang benar-benar layak melalui tender terbuka dan merit,” katanya.

Fariq Sazuki
Fariq Sazuki.

Fariq Sazuki dari kumpulan pemikir Bait al-Amanah, berkata kerajaan perlu memastikan skim insentif pelaburan baharu memberi manfaat secara seimbang kepada syarikat besar dan kecil.

Katanya, skim terdahulu lebih banyak menguntungkan syarikat besar kerana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sering kurang pendedahan atau sumber untuk memenuhi syarat kelayakan bagi mendapatkan insentif.

“Kerajaan perlu mengelakkan insentif yang terlalu memihak kepada syarikat besar kerana ia boleh menghalang pertumbuhan PKS dan mengehadkan manfaat ekonomi yang lebih meluas,” katanya.

Fokus ‘Made by Malaysia’ mungkin galak amalan naungan

Williams memberi amaran bahawa konsep ‘Made by Malaysia’ berisiko mencetuskan amalan naungan dalam pembiayaan projek bagi melahirkan ‘juara tempatan’.

“Idea ini tidak ditakrif dengan jelas, dan sasaran untuk mewujudkan ‘juara tempatan’ boleh menyebabkan dana disalurkan kepada pihak berkepentingan tertentu melalui naungan,” katanya.

Namun, Fariq juga percaya NIIF berpotensi mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi dan meningkatkan gaji sekiranya terdapat peruntukan khusus bagi pembangunan bakat serta peningkatan kapasiti dalam industri bernilai tinggi.

Beliau turut mencadangkan insentif cukai bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pendidikan. Namun, beliau menggesa kerajaan menghentikan dasar potongan cukai besar-besaran untuk menarik syarikat asing ke Malaysia.

“Malaysia sepatutnya berhenti promosi sebagai destinasi percutian cukai kerana ini boleh menjadi tidak berkesan dan terdedah kepada penyalahgunaan, terutamanya jika aset tidak menguntungkan dibangunkan di negara ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.