Polis serbu 8 kondo mewah, bongkar sindiket tipu permainan video

Polis serbu 8 kondo mewah, bongkar sindiket tipu permainan video

Polis berkata dalam serbuan itu seramai 14 individu termasuk 11 warga China, seorang Turki dan dua warga tempatan ditahan.

ampasan kondominium mewah di Persiaran Stonor
Antara barangan dirampas daripada sindiket penipuan permainan video dalam talian ketika serbuan di lapan unit kondominium mewah di Persiaran Stonor Rabu lalu.
KUALA LUMPUR:
Polis menumpaskan satu sindiket penipuan permainan video dalam talian selepas menyerbu lapan kondominium mewah di Persiaran Stonor Rabu lalu yang disyaki dijadikan pusat aktiviti haram itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata dalam serbuan itu pihaknya menahan 14 individu termasuk 11 warga China, seorang warga Turki dan dua warga tempatan.

Ramli Mohamed Yoosuf.

“Semua mereka termasuk empat wanita warga China ini berperanan sebagai ketua sindiket, penolong ketua, pengurus, pengurus kewangan, pegawai khidmat pelanggan serta pemandu.

“Sindiket ini disyaki terlibat dalam penipuan permainan video dalam talian yang menawarkan hadiah berbentuk gajet seperti telefon bimbit, komputer dan barangan mewah lain,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ.

Turut dirampas wang tunai hampir RM5 juta dan pelbagai mata wang asing, dua kereta mewah, 27 telefon bimbit, enam komputer riba, barang kemas, jam dan beg tangan mewah.

Ramli berkata sindiket itu yang menyasarkan mangsa di China, Macau dan Filipina akan menyertai forum dan ruang sembang di negara itu bagi menarik mangsa menyertai platform permainan mereka yang menawarkan hadiah lumayan.

Katanya, mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut akan diminta memuat naik aplikasi yang ditetap sebelum meminta mereka membuat beberapa bayaran tertentu untuk menyertai atau untuk meneruskan permainan tersebut.

“Bagaimanapun, selepas mangsa membuat bayaran sindiket itu tidak dapat dihubungi,” katanya memaklumkan suspek warga asing itu masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

Menurutnya, setiap anggota sindiket menerima gaji antara RM3,000 hingga RM7,000 sebulan dan kumpulan itu juga dipercayai membeli aset di Malaysia termasuk satu unit kondominium mewah yang diserbu.

Katanya, 12 warga asing yang ditahan itu direman empat hari hingga 23 Feb depan, manakala dua warga tempatan, direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.