
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mangsa yang juga pengarah syarikat pembinaan berusia 74 tahun itu memaklumkan dia melihat
iklan pelaburan menerusi carian di Google.
Katanya, mangsa kemudiannya menekan pautan yang disertakan dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp (12 Gatering Stocks Into Gold).
“Mangsa diajar berkenaan pelaburan oleh seorang individu yang menggelarkan dirinya ‘Professor Stanley Lim’.
“Terpedaya dengan janji-janji keuntungan yang ditawarkan, mangsa kemudian memuat turun aplikasi UVKXE bagi memulakan pelaburan,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ.
Ramli berkata, bermula 17 Oktober hingga 24 Dis tahun lalu, mangsa membuat sembilan pindahan wang ke sembilan akaun bank yang didaftarkan atas nama pelbagai syarikat yang berbeza dengan jumlah keseluruhan bernilai RM26.6 juta.
Katanya, menerusi semakan pada Januari lalu, mangsa mendapati akaun pelaburannya mencatatkan keuntungan sehingga USDT269.247 juta (RM1.2 bilion).
“Bagaimanapun, apabila ingin mengeluarkan keuntungan berkenaan, mangsa diarahkan untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM5.56 juta atas alasan cukai,” katanya.
Menurutnya, untuk rekod, lima akaun bank milik syarikat yang digunakan dalam kes terbabit turut disiasat bersabit 38 kes penipuan yang lain.
Katanya, setakat ini, sejumlah 46 laporan polis diterima berkaitan skim penipuan pelaburan UVKXE dengan nilai kerugian keseluruhan RM61.4 juta.