
“Jika kerajaan ini kembali memerintah, insya Allah kita akan kekal bersama menjayakan dan memperhebatkan lagi pelaksanaan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu.
“Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ 1.0 akan menjadi Hala Tuju SMJ 2.0 demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat, sesuai dengan agenda untuk menjadikan Sabah negeri hebat.”
DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada Oktober ini dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Sementara itu, Hajiji berkata, hubungan akrab antara kerajaan negeri dan persekutuan wajib diperkukuhkan lagi.
“Berbagai isu dan perkara bukan saja dapat dirundingkan, bahkan dapat juga diselesaikan. Ini merangkumi isu berkaitan perundangan dan akta, Perjanjian Malaysia 1963 dan lebih penting lagi usaha sama atau kolaborasi antara kerajaan negeri dengan Petronas.”
Beliau berkata, bagi menjayakan agenda memperhebatkan Sabah, jalinan kerjasama dan persefahaman antara pimpinan negeri dengan penjawat awam perlu erat serta sentiasa diperkukuhkan.
“Di sebalik pelbagai halangan dan rintangan yang saya hadapi, saya masih boleh berbangga kerana anda, warga penjawat awam tetap berdiri teguh di belakang saya hingga ke hari ini,” katanya yang mengucapkan terima kasih atas komitmen dan sokongan padu penjawat awam menjayakan agenda pembangunan negeri.