Dakwa akta antidiskriminasi cetus rusuhan kaum, Guan Eng gesa Marzuk mohon maaf

Dakwa akta antidiskriminasi cetus rusuhan kaum, Guan Eng gesa Marzuk mohon maaf

Ahli Parlimen Bagan berkata kenyataan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa melampau dan dibuat secara melulu.

guan eng n marzuk shaary
Lim Guan Eng juga mencadangkan Ahmad Marzuk Shaary dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng menggesa Ahmad Marzuk Shaary daripada PAS memohon maaf dan menarik balik dakwaan akta antidiskriminasi kaum dicadangkannya boleh membawa kepada rusuhan kaum.

Lim berkata, dakwaan dibuat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu  melampau dan melulu.

“Saya tidak sebut 13 Mei dan hanya cadangkan akta anti diskriminasi kaum untuk hentikan ucapan kebencian kepada kaum.

“Saya minta beliau (Marzuk) minta maaf, tarik balik (kenyataan) atau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,” katanya semasa mencelah sebelum sesi pergulungan titah Yang di-Pertuan Agong peringkat Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, kemudian meminta Lim membuat usul mengenai dakwaan dibuat Marzuk itu.

“Untuk adil kepada kedua-dua pihak, boleh masukkan usul dan beri masa kepada saya untuk buat kajian dan lihat balik ‘Hansard’ (penyata rasmi),” katanya.

Selasa lalu, Marzuk dilaporkan berkata, akta antidiskriminasi dicadangkan Lim daripada DAP itu boleh menyebabkan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 berulang.

Beliau berkata, akta sedemikian seperti ‘pintu belakang’ untuk menghapuskan hak dan keistimewaan Bumiputera, yang akan mengganggu-gugat keharmonian kaum di Malaysia.

Lim mencadangkan penggubalan akta antidiskriminasi kaum susulan isu perkauman membabitkan tokoh politik dan ekstremis, dengan memetik insiden terbaru melibatkan peniaga jagung di Sepang.

Penjual jagung itu mencetuskan kontroversi apabila mempamerkan papan tanda berunsur perkauman yang menyatakan produknya tidak dijual kepada kaum India.

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, menolak cadangan Lim itu dengan berkata, akta sedemikian tidak perlu kerana undang-undang sedia ada mencukupi untuk menangani kesalahan kaum dan agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.