
Panel tiga hakim dipengerusikan Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan rayuan Mohd Arif Ab Rahman dan mengetepikan sabitannya atas tuduhan bersubahat dengan Ahmad Zukhairi menerima RM627,636 sembilan tahun lalu.
Menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Hakim Azizul Azmi Adnan berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan Arif bersubahat dengan Zukhairi dalam melakukan kesalahan itu.
“Bukti berdasarkan keadaan terhadap tertuduh (Arif) tidak mencukupi untuk membuktikan kesalahannya,” katanya.
Turut bersidang Hakim Lim Chong Fong.
Bagaimanapun, mahkamah menolak rayuan Zukhairi terhadap sabitannya atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan projek kerajaan.
Azizul berkata, Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam mensabitkan Zukhairi dengan kesalahan tersebut.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengurangkan hukuman penjara Zukhairi daripada lima tahun kepada empat tahun bagi setiap pertuduhan. Denda RM9.6 juta yang dikenakan terhadapnya dikekalkan.
Dia akan mula menjalani hukuman hari ini.
Zukhairi juga akan dipenjara tambahan enam tahun jika gagal membayar denda itu.
Arif dan ahli keluarganya dilihat menenangkan Zukhairi selepas keputusan mahkamah diumumkan.
Terdahulu, peguam Zamani Ibrahim yang mewakili Zukhairi merayu kepada mahkamah mengurangkan hukuman penjara anak guamnya.
“Kami merayu belas ihsan mahkamah. Beri dia peluang kedua supaya dapat kembali kepada masyarakat selepas menjalani hukuman,” katanya, sambil menambah Zukhairi mempunyai dua anak kecil.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata beliau berharap Zukhairi akan insaf selepas menjalani hukuman.
Katanya, hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini tidak keterlaluan.
“Kita tidak mahu masyarakat melihat kes rasuah sebagai lebih ringan berbanding kes kecurian,” katanya.
Mahkamah Sesyen pada 2018 mensabitkan dua beranak itu atas kesalahan rasuah.
Mahkamah Tinggi kemudian mengekalkan keputusan tersebut tiga tahun kemudian.